Pembesar suara luar untuk ceramah, kuliah di masjid surau dilarang, hanya azan dibenarkan

AYHAN FERHAT

Pembesar suara luar untuk sesi ceramah dan kuliah di masjid atau surau dilarang tetapi untuk azan dan bacaan ayat Al-Quran dibenarkan untuk tempoh yang singkat.

Ini sebagaimana selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 16 Oktober 2017.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

“(Manakala) pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Shahzihan, baginda memutuskan demikian supaya kemuliaan Islam sebagai cara hidup yang sempurna, dinamik serta sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai semua pihak dan seterusnya menjadi contoh teladan yang baik.

Sehubungan itu, katanya, JAIS menyambut titah Sultan Sharafuddin dengan mengeluarkan arahan kepada pentadbir masjid dan surau seluruh negeri bahawa penggunaan pembesar suara luar untuk ceramah dan kuliah tidak dibenarkan pada 23 Oktober 2017.

“Justeru itu, siasatan lanjut telah dibuat (berhubung isu seorang lelaki mengamuk kerana sebuah surau di rumahnya di Ampang Campuran membuka pembesar suara luar semasa program kuliah subuh) mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di negeri ini,” tegasnya.

Baru-baru ini, beberapa portal berita tempatan melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang telah menganggu sesi kuliah subuh di sebuah surau di Ampang Campuran, Ampang, pada minggu lalu.

Terdahulu, seorang lelaki telah menarik mikrofon daripada seorang penceramah dan menjerit mendakwa ceramah yang disampaikan terlalu bising dan mengganggunya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian jam 7.06 pagi di sebuah surau di Ampang Campuran pada Ahad itu berlaku ketika kuliah subuh.

“Ketika kejadian, suspek menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan mengganggunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan