Remaja dituduh merogol, samun wanita di hotel

Meor Riduwan Meor Ahmad

am@hmetro.com.my

TERTUDUH, K P Suren didakwa merogol, merompak dan melakukan persetubuhan di luar aturan tabii terhadap seorang wanita di sebuah hotel, awal bulan ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

TERTUDUH, K P Suren didakwa merogol, merompak dan melakukan persetubuhan di luar aturan tabii terhadap seorang wanita di sebuah hotel, awal bulan ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang remaja didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan iaitu merogol, merompak hingga mencederakan mangsa serta melakukan persetubuhan luar tabii, di sebuah hotel awal bulan ini.

Tertuduh, K P Suren, 18, dari Taman Rambai Jaya, dekat sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap wanita berusia 34 tahun tanpa kerelaan mangsa iaitu kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh juga didakwa melakukan rompakan wang tunai RM100 dan telefon bimbit milik mangsa malah semasa kejadian dia dengan sengaja mencederakan wanita terbabit.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Pertuduhan ketiga, Suren didakwa merogol mangsa sama tanpa kerelaannya dan pada masa atau segera sebelum menyebabkan kecederaan kepadanya.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 1.11 pagi sehingga 1.20 pagi di sebuah hotel di Taman Paya Rumput Utama pada 3 Ogos lalu.

Terdahulu pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari tidak menawarkan jaminan, namun memohon ditetapkan RM40,000 bagi setiap pertuduhan jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.

Peguam Suresh Balakrishnan merayu jaminan ditetapkan pada kadar paling minimum dan memberitahu mahkamah bakal penjamin iaitu abang tertuduh hanya bekerja kilang dengan pendapatan bulanan RM1,100.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan