Malaysiakini
Pemuda PKR (AMK) hari ini mempersoalkan adakah Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sengaja menjadikan majlis bekwoh (kenduri) kesyukuran dianjurkannya sebagai cara 'menghalalkan' dia mendapatkan khidmat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco AMK Malaysia, Mohd Afiq Ayob, berkata persoalan itu ditanyakan kerana ia dibuat bersekali dengan majlis perkahwinan dua anaknya.
"Adakah penganjuran majlis bekwoh kesyukuran Keluarga Besar Nikmatilah itu sekadar smokescreen semata-mata untuk menggunakan kemudahan kerajaan dan mendapatkan perkhidmatan secara percuma sedangkan sebenarnya tujuan utama adalah majlis perkahwinan untuk kedua-dua anaknya?" tanya Mohd Afiq dalam kenyataan hari ini.
Dia yang juga pengarah strategi AMK Kelantan mengingatkan, seseorang ahli parlimen memikul amanah dan tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan setiap sen wang rakyat yang dikutip kerajaan perlu dibelanjakan secara berhemat.
Wang tersebut, tambahnya, bukan untuk digunakan atas kepentingan peribadi seperti majlis kenduri.
Kelmarin tular sepucuk surat didakwa dihantar Nik Mohamad Abduh kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BI) bagi mendapatkan beberapa kemudahan PBT terbabit.
Surat itu bertarikh 20 Sept lalu.
Kesahihan surat itu kemudian disahkan Yang Dipertua MPKB-BI, Rosnazli Amin, kepada Malaysiakini kelmarin. Bagaimanapun dia tidak memberi pengesahan sama ada permohonan daripada anak bekas menteri besar Kelantan itu diterima atau sebaliknya.
Tiada kompromi dengan korupsi
Bagaimanapun Malaysiakini hari ini melaporkan Nik Mohamad Abduh mengakui pihaknya bukan saja menerima bantuan daripada PBT terbabit, malah beberapa agensi kerajaan yang lain.
"Saya akhirnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PDRM, MPKB-BRI dan JKR yang menerima permohonan saya untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat kami terutama dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu-lintas yang agak sesak pada waktu puncak.
"Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pengutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat," kata pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar) itu.
Kata Mohd Afiq apa yang dilakukan Nik Mohamad Abduh menunjukkan betapa berbezanya PAS dahulu dan PAS sekarang.
Katanya ketika bapa Nik Mohamad Abduh, Nik Abdul Aziz Nik Mat, masih ada, menteri besar terbabit dihormati kerana memiliki rekod pentadbiran begitu bersih semasa menyandang jawatan tersebut antara 1990 hingga 2013.
"Beliau sering kali menegur dan menekankan nilai-nilai akhlak serta akidah, dan tidak boleh sama sekali berkompromi dengan sebarang korupsi atau salah guna kuasa.
"Aspek urus tadbir negara yang baik mesti kita sentiasa tekankan. Kita sepatutnya bangkit melawan rasuah, bukan mendorong ataupun melibatkan diri dalam perbuatan jijik itu," katanya.
Nik Mohamad Abduh, kata Mohd Afiq lagi, juga kelihatan begitu berani mengesahkan perbuatannya mendapatkan khidmat agensi kerajaan berkenaan.
Justeru Mohd Afiq turut mempersoalkan kemampuan Nik Mohamad Abduh memahami tugas sebenarnya sebagai ahli parlimen.
AMK Kelantan juga, katanya, menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka kertas siasatan dengan segera terhadap Nik Mohamad Abduh.
"Siasatan perlu dijalankan bagi menentukan sama ada wujud sebarang unsur salah guna kuasa berhubung permohonan mendapatkan kemudahan bagi majlis perkahwinan anak-anak beliau," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan