Polis siasat dakwaan seluar pelajar perempuan ditarik ketika tidur

Izad Thaqif Hassan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Tiga pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini memberi alasan mahu mengambil barang ketika mereka ditahan warden selepas didapati berada di bilik asrama perempuan, awal pagi Khamis lalu.

Kejadian itu kini dalam siasatan polis selepas seorang pelajar perempuan yang tidak berpuas hati dengan alasan tidak munasabah membuat laporan semalam.

Menurut sumber, pelajar perempuan tingkatan satu berkenaan mendakwa pada hari kejadian dia tidur di lantai bilik asrama sebelum terasa ada seseorang menarik seluarnya.

"Remaja perempuan itu dalam laporan polis mendakwa kejadian terbabit berlaku pada 2.30 pagi dan dia yang terkejut apabila seluar ditarik terus terjaga daripada tidur.

"Ketika itu, pelajar perempuan berkenaan memberitahu yang dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian bersembunyi di bawah katil di sebelahnya," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang masih dalam keadaan terkejut turut melihat seorang lagi lelaki berada bawah katil sama dengan lelaki yang menarik seluarnya sebelum itu.

"Bimbang identiti mereka terbongkar sekiranya mangsa menjerit atau membuat kecoh, dua pelajar lelaki berkenaan terus berlari keluar dari bilik asrama itu.

"Namun, tindakan mereka melepaskan diri itu gagal apabila ditahan warden yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan asrama terbabit," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan warden itu terdiri daripada tiga pelajar lelaki tingkatan dua dan mereka dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan asrama pelajar perempuan.

"Semua pelajar terbabit kemudian mendakwa yang mereka berada dalam bilik asrama perempuan ketika itu kerana mahu mengambil barang.

"Bagaimanapun, alasan diberikan tidak masuk akal dan pelajar perempuan yang mendakwa ditarik seluar ketika tidur oleh kumpulan pelajar lelaki itu tampil membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan