Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
REMAJA berusia 13 tahun itu dibawa ke Hospital Ampang. FOTO Ihsan Polis
Ampang Jaya: Seorang ibu tergamak meninggalkan anak lelaki berusia 13 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) seorang diri di rumahnya di Taman Melawati di sini dan menginap di sebuah hotel.
Wanita berusia 43 tahun yang bekerja di bahagian kewangan itu melakukannya kerana mahu membawa anak bongsunya ke latihan berenang.
Namun tragedi malang menimpa apabila anak keduanya itu yang mempunyai masalah pembelajaran dan autisme, bertindak terjun dari tingkat satu apartmen mereka sebelum terjatuh di atas kereta, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita terbabit pada mulanya menerima panggilan daripada bekas suaminya pada jam 8.32 pagi memaklumkan anak mereka terjun dari kediaman terbabit.
Menurutnya, mangsa terjun dari tingkat satu dan jatuh ke atas kereta.
"Mangsa mengalami kecederaan iaitu lima jahitan di bahagian kepala, tangan sebelah kanan retak dan cedera di muka.
"Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohamad Farouk berkata, dipercayai semasa kejadian ibunya meninggalkan mangsa seorang diri di kediaman sejak jam 9.15 malam kelmarin kerana membawa anak perempuan yang berusia lima tahun pergi latihan renang dan bermalam di hotel di Damansara.
"Susulan itu, pada jam 2 petang tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah membuat tangkapan terhadap wanita terbabit.
"Suspek akan direman di Mahkamah Ampang esok dan kes disiasat mengikut Seksyen31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan