Wanita berjubah, niqab diselamatkan orang ramai

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Seorang wanita berjubah dan berniqab cuba terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, tapi berjaya diselamatkan orang ramai. FOTO IHSAN PEMBACA

Seorang wanita berjubah dan berniqab cuba terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, tapi berjaya diselamatkan orang ramai. FOTO IHSAN PEMBACA

Kota Bharu: "Wanita itu sudah hampir jatuh dari jambatan tetapi kakinya tersekat dengan jubah yang dipakai sebelum segera dipegang orang ramai," kata Suhaila Zakaria.

Suhaila, 28, yang juga saksi insiden wanita berpurdah hampir terjatuh dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, pada 1.40 tengah hari ini berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari bandar ini untuk pulang ke rumahnya di Kampung Dalam Rhu, Tumpat.

Menurutnya, dia yang menunggang motosikal kemudiannya ternampak kumpulan orang ramai di tepi jalan atas jambatan terbabit sebelum ditahan agar menghentikan kenderaannya.

"Saya diminta untuk memegang wanita itu kerana yang lainnya adalah lelaki dan mangsa ketika itu dalam keadaan menangis teresak-esak.

"Kami tak pasti wanita itu dari arah mana, cuma dia memakai jubah dan berniqab dan dia juga sudah jatuh dari jambatan, nasib baik orang ramai sempat memegangnya.

"Dia (mangsa) kelihatan celaru dan asyik menyalahkan diri sendiri sambil berkata 'saya jahat' tanpa menerangkan perkara sebenar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suhaila berkata, sebaik ditenangkan, wanita berusia lingkungan 30-an itu dibawa ke balai polis berhampiran oleh sebuah kereta peronda yang kebetulan lalu di jalan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 tengah hari.

"Tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, kami dimaklumkan bahawa mangsa sudah dibawa oleh polis dan misi menyelamat dianggap selesai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan