Aksi gila: 'Spiderman Perancis' bawa anak pula

Reuters

ALAIN Rober ketika memanjat bangunan Torre Glories. FOTO AFP

Barcelona: Alain Robert, free climber yang digelar 'Spiderman Perancis' memanjat salah satu bangunan pencakar langit tertinggi di sini, pada Sabtu, tanpa menggunakan abah-abah.

Buat pertama kalinya, pemanjat bangunan terkenal itu disertai oleh anak lelakinya.

"Kali ini berbeza. Anak saya bukan seorang pendaki jadi saya rasa bertanggungjawab," kata Robert kepada Reuters semasa bersiap untuk pendakian itu.

"Saya tahu dia seorang dewasa berusia 34. Ia adalah keputusannya sendiri, tetapi saya ayahnya," katanya.

Orang ramai dan polis Sepanyol menyaksikan lelaki berusia 60 tahun itu dan anaknya, Julien, memanjat Torre Glories yang mempunyai ketinggian 144 meter (m).

Dahulunya bangunan itu dikenali sebagai Torre Agbar. Ia sebuah bangunan pejabat bertutup kaca yang direka oleh arkitek Jean Nouvel dan terkenal dengan pencahayaan pada waktu malam.

"Saya berasa sangat tertekan. Saya tidak pernah begitu takut dalam hidup saya.

"Saya melakukan perkara yang menakutkan dalam hidup, saya tidak pernah begitu takut (dalam) hidup saya. Mujurlah, saya ada ayah yang akan bercakap dan membimbing saya," kata Julien kepada Reuters sejurus sebelum mereka memulakan misi berkenaan.

Dua beranak itu menyelesaikan misi memanjat bangunan berkenaan dalam masa kurang sejam.

Mereka ditemui di bahagian atas bangunan oleh polis.

Selepas itu, polis mengiringi dua beranak itu ke tingkat bawah, namun tidak menangkap mereka.

Alain Robert mula memanjat bangunan pada tahun 1975, berlatih di tebing berhampiran kampung halamannya di Valence di selatan Perancis.

Beliau mula melakukan misi memanjat solo pada 1977 dan pernah memanjat lebih daripada 150 bangunan, termasuk Burj Khalifa di Dubai, Menara Eiffel, Paris dan Jambatan Golden Gate di San Francisco.

Robert jarang mendapat kebenaran dan memanjat tanpa abah-abah, hanya menggunakan sepasang kasut memanjat, dan membawa beg serbuk kapur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan