Reuters
SRINAGAR: Ketua pengarah perkhidmatan penjara di Kashmir ditemui dibunuh, kata polis hari ini, ketika menteri dalam negeri melawat wilayah dipertikai, Himalaya yang sering berdepan pemberontakan sejak beberapa dekad.
Menurut polis, mayat ketua pengarah itu, Hemant Kumar Lohia, 57, ditemui malam tadi di kediamannya yang terletak di wilayah Jammu.
Polis berkata, suspek utama yang sebenarnya adalah pembantu rumah, namun menurut kumpulan militan Islam mereka memang sengaja menyasar untuk membunuh Lohia.
Majoriti penduduk Kashmir adalah Muslim tetapi sering menjadi perebutan antara India yang kebanyakannya beragama Hindu dan Pakistan yang beragama Islam.
Kumpulan pemisah Islam memerangi pasukan keselamatan India dari bahagian diduduki di Kashmir sejak akhir 1980-an.
Pegawai kanan polis, Mukesh Singh, berkata leher Lohia dikerat dan bahagian badannya mempunyai kesan dibakar.
Katanya, siasatan awal mendapati pembunuhan itu bukan ‘tindakan keganasan’ dan polis sedang meneruskan siasatan lanjut.
Barisan Anti-Fasis Rakyat (PAFF), iaitu kumpulan militan yang muncul selepas kerajaan India menyusun semula satu-satunya negeri majoriti Islamnya menjadi dua wilayah yang ditadbir persekutuan pada 2019, berkata pihaknya yang membunuh Lohia.
Polis menyalahkan kumpulan seperti PAFF terhadap pembunuhan yang disasarkan namun, militan tidak membunuh mana-mana pegawai keselamatan kanan Lohia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ini hanyalah permulaan operasi berprofil tinggi seperti itu,” kata PAFF dalam satu kenyataan di media sosial, sambil mengatakan pembunuhan itu adalah ‘hadiah kecil’ kepada Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, yang tiba di Kashmir semalam untuk lawatannya selama tiga hari.
Setakat ini, Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan kenyataan PAFF.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan