‘Kalau dua kumpulan umat Islam bertelagah, maka kamu damaikan mereka’ – Pas ada pelan kedua dengan Umno, Bersatu pula yakin Pas pilih PN
DANIAL HAKIM
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu tidak sesekali ‘undur’ untuk menjayakan penyatuan ummah bersama Umno dan memiliki pelan kedua jika agenda yang sedang diusahakan itu gagal.
Menurutnya, isu sekarang bukan mengenai Pas bermain ‘dua kolam’ atau lebih kerana ia bukan hanya membabitkan kepentingan politik, sebaliknya membabitkan semua perkara.
“Sebab itu bagi kita bukan hanya Pas dan Umno, kalau dua kolam hanya Pas dan Umno sahaja. Penyatuan ummah ini gagasan besar.
“Walaupun tiada mesyuarat rasmi, MN (Muafakat Nasional) ini tiada pihak yang nak bubar sebab bagi saya ia adalah platform untuk kepentingan bukan hanya untuk politik tetapi juga kepentingan masyarakat.
“Kalau kita lihat dalam ayat al-Quran, kalau dua kumpulan umat Islam bertelagah, maka kamu damaikan mereka.
“Kalau nak kira sensitif rasa hati, Pas lebih rasa hati dengan Umno, 60 tahun berbanding dengan Bersatu malah Bersatu pun sebahagiannya adalah pemimpin Umno dahulu,” jelasnya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, yakin Pas akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) dalam memperkukuhkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ujarnya, setakat ini, Pas menunjukkan komitmen untuk bergerak bersama PN dalam satu pasukan malah jentera pilihan raya PN telah dilancarkan di beberapa buah negeri dan akan terus melaksanakannya dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan