Malaysiakini
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengisytiharkan bahawa jika dilantik sebagai perdana menteri, dia tidak akan mengambil gajinya sebagai solidariti kepada rakyat Malaysia yang bergelut dengan kenaikan harga barang.
Menurut The Vibes, presiden PKR itu mendakwa rakyat muak dengan perdana menteri menjalani gaya hidup mewah manakala rakyat biasa sedang bergelut dari segi kewangan.
“Saya akan malu untuk mengambil gaji perdana menteri sedangkan rakyat menderita dengan kenaikan harga barang.
"Dalam Islam, kuasa adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan," kata Anwar kepada orang ramai semasa ceramah kempen di Kalabakan, Sabah, semalam.
Ahli politik veteran itu berikrar untuk menukar politik Malaysia jika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan, kerana tidak akan ada lagi kabinet yang mempunyai ramai menteri dan timbalan menteri seperti kerajaan terdahulu.
“Terdapat 70 menteri di bawah BN. Apakah yang telah mereka lakukan? Rakyat menderita dengan kenaikan harga barang tetapi 70 menteri tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu keadaan,” katanya.
Rasuah menghalang kemajuan Sabah
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bukan sukar untuk membangunkan Sabah tetapi ia dihalang oleh rasuah.
“Apa yang susah sangat? Malaysia sudah merdeka hampir 60 tahun. (Bahagian tertentu di Sabah) mempunyai jalan raya yang teruk, tiada bekalan elektrik dan air, dan hospital jauh.
"Jika tidak ada yang mencuri wang, wang itu (untuk pembangunan) sudah memadai," katanya.
Anwar menambah, walaupun terdapat rakyat yang terperangkap dalam kemiskinan di semenanjung, tidak boleh dipertikaikan bahawa Sabah telah diabaikan dari segi pembangunan, dan dia berikrar membawa pembangunan ke negeri itu jika dilantik sebagai perdana menteri.
Di kerusi parlimen Kalabakan, PH meletakkan Noraini Abdul Ghapur, anak sulung bekas ahli parlimen Umno kawasan itu, Abdul Ghapur Salleh.
Bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15, Noraini akan bertanding lima penjuru dengan penyandang Ma'mun Sulaiman (Warisan), Andi Muhammad Suryady Bandy (Umno), Nur Aini Abdul Rahman (Pejuang) dan Muhammad Dhiauddi N Hassan (bebas).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan