ANTARA warga asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Selangor selepas menggempur kebun sayur haram di Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 2019.
SAUDARA PENGARANG,
KEMENTERIAN Sumber Manusia pada 2014 pernah mengeluarkan amaran bahawa pekerja asing akan menguasai ekonomi negara jika diberi peluang. Memang sifat imigran kuat dan rajin bekerja serta bijak menghidu peluang tanpa menghiraukan undang-undang.
Sebab itu isu warga asing menceroboh tanah untuk membuka ladang sayur haram seperti di Cameron Highlands. Sudah banyak kali dilaporkan oleh media massa tetapi tiada tindakan betul-betul tegas yang diambil pihak berkuasa bagi mengatasi masalah ini.
Ada kes warga asing menukar sawah menjadi ladang sayur di Sekinchan dan Tanjong Karang, Selangor. Terbaru, laporan Utusan Malaysia pada 26 Oktober lalu melibatkan tanah milik kerajaan di Puchong, Selangor.
Kawasan rizab pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) selalu menjadi sasaran mereka. Tempat terbuka di tepi lebuh raya mereka berani buka ladang, bagaimana pula dengan tempat tersorok jauh dalam hutan di negeri-negeri lain?
Oleh itu, tidak hairan warga asing mampu menguasai perniagaan di pasar borong di Kuala Lumpur dan Selangor kerana bekalan sayur datang dari ladang rakan senegara.
Mereka ada modal besar untuk berniaga dan membuka ladang moden kerana ada dukungan rakan yang sudah berjaya. Implikasi besar jika warga asing yang menguasai sektor borong dan runcit juga ada ladang sayur sendiri kerana rantaian bekalan makanan rakyat tempatan di bawah kawalan mereka.
Terdapat juga kes rakyat tempatan sendiri memajak tanah kepada warga asing yang mampu membayar sewa pada harga tinggi. Adakah warga asing di negara lain bebas seperti pekerja asing di Malaysia yang boleh membuka ladang sayur haram?
Pihak berkuasa dan kerajaan negeri, tolonglah bertindak sebelum terlambat. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu turun padang siasat jika perlu. – UTUSAN
MOHD. ZUL, Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan