Macam-macam ada: Shahidan muncul di Terengganu, bergegas 'nak isi borang'

Malaysiakini

PRU15 | Majlis pengumuman calon-calon PN Terengganu yang asalnya biasa-biasa saja apabila hampir semua penyandang dicalokan semula berubah menjadi kejutan apabila susuk Shahidan Kassim muncul.

Bekas menteri besar Perlis yang digugurkan Umno-BN daripada senarai mereka diumum Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebagai pertaruhan gabungan itu untuk kerusi parlimen Arau.

Abdul Hadi juga mengumumkan penyandang kerusi Maran, Ismail Abd Muttalib, akan dikekalkan sebagai calon di kerusi itu, namun sebagai calon PN.

Shahidan ketika diberi peluang berucap ringkas memberitahu, dia baru tiba di Kuala Terengganu dari Perlis selepas diminta berbuat demikian oleh pimpinan PN.

Selepas ini, katanya, dia perlu bergegas untuk kembali ke Perlis.

"Saya perlu balik ke Perlis untuk isi borang. "Watikah dah dibagi tapi borang belum isi," katanya.

Bagaimanapun tidak pasti parti mana yang akan menjadi pilihan buat Shahidan selepas ini.

Dalam ucapan tidak sampai lima minit itu, bekas menteri itu juga mengecam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang digelarnya sebagai "penipu" kerana - dakwanya - gagal mengikut janji yang diucapkan sebelum ini.

Kata Shahidan, senarai cadangan calon daripada "top five" Umno tidak diendahkan oleh Ahmad Zahid.

Sementara itu Pengerusi PN Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan semua penyandang kerusi parlimen di negeri itu dicalonkan semula kecuali di kerusi Besut dan Kuala Nerus.

Untuk PRU kali ini PN meletakkan bekas pemimpin Umno yang sudah menyertai PAS, Che Mohamad Zulkifly Jusoh, sebagai percaturan mereka untuk merampas kerusi tersebut daripada Umno.

Pada 2018 Besut dimenangi BN melalui calonnya, Idris Jusoh.

Penyandang kerusi Hulu Terengganu, Rosol Wahid, yang memenangi kerusi itu melalui tiket BN kini menjadi pertaruhan PN. Dia merupakan ahli Bersatu selepas meninggalkan Bersatu selepas PRU ke-14.

PN Terengganu diputuskan untuk bertanding menggunakan lambang PAS kali ini.

Berikut adalah senarai calon PN untuk lapan kerusi di Terengganu:

Hulu Terengganu: Rosol Wahid

Kemaman: Che Alias Hamid

Besut: Che Mohamad Zulkefly Jusoh

Setiu: Shaharizukirnain Abd Kadir

Kuala Terengganu: Ahmad Amzad Hashim

Marang: Abdul Hadi Awang

Hulu Terengganu: Rosol Wahid

Kuala Nerus: Dr Alias Razak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan