Geraldine Tong& Puteri Aisya Sufian
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan terdapat sebarang usaha untuk partinya bekerjasama dengan Umno.
Katanya, kerjasama paling mungkin bagi Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, selepas pilihan raya, adalah melibatkan gabungan dari Sabah dan Sarawak.
Kenyataannya itu dibuat susulan dakwaan ketua penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim, semalam yang mempersoalkan sama ada wujudnya kemungkinan pakatan antara PKR dan Umno.
Ini, katanya, memandangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini sering menyerang Dr Mahathir Mohamad berbanding Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
“Tiada (pakatan) apa-apa. Saya fikir ia adalah satu percubaan murahan, hampir tanpa sebarang isu, menjelang pilihan raya ini, untuk GTA cuba mencipta persepsi bahawa PKR cuba bekerjasama dengan Zahid.
"Penyokong PKR serta PH dan pengundi tidak perlu berasa bimbang kerana saya tidak akan menerima perkara (rundingan) ini dan berdiam diri.
"Jika ia berlaku, saya akan menjadi orang pertama yang bersuara, jika berlaku sebarang usaha rundingan dengan Umno," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Sebagai pengarah pilihan raya PKR untuk PRU15, Rafizi berkata dia telah berulang-kali ditanya mengenai pembentukan kerajaan baharu.
Dia berkata PH mempunyai pendirian yang agak berterus-terang dalam perkara ini, kerana mereka percaya gabungan itu boleh menjadi blok terbesar di Parlimen selepas PRU15.
Berdasarkan data pengundi, Rafizi berkata gabungan itu mungkin mampu memperoleh sekitar 90 kerusi malah menghampri 100 kerusi, jika mereka mampu mengekalkan momentum semasa.
“PH sebagai blok terbesar (di parlimen) mempunyai hak untuk membentuk kerajaan gabungan dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
“Pilihan seterusnya adalah untuk gabungan Sabah dan Sarawak, sama ada GRS (Gabungan Rakyat Sabah) atau GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk mempertimbangkan apa yang terbaik untuk mereka dalam membentuk kerajaan dengan mana-mana gabungan.
“Saya fikir, apabila tiba masanya, Sabah dan Sarawak akan membuat pilihan yang bernas.
“Sebab itu saya tidak berminat untuk bercakap tentang GTA, BN atau PN (Perikatan Nasional),” kata Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan