Shahidan: Silap-silap Ismail Sabri kena 'kencing'

N Faizal Ghazali

PRU15 | Tampil sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Shahidan Kassim menyatakan rasa khuatir terhadap nasib yang mungkin dihadapi perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, BN yang diterajui Ahmad Zahid Hamidi kini tidak lagi mencanangkan nama Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum kali ini.

"Ya saya pun tak faham, sepatutnya calon bakal perdana menteri BN adalah Ismail Sabri, tapi nampak mereka macam diamkan saja. Saya rasa Ismail Sabri kena berhati-hati di jalan raya, silap-silap kena kencing (tipu) di tengah jalan.

"Puak ini kalau dia boleh khianat parti, dia juga boleh kencing calon perdana menteri. Tengok diam saja, sepatutnya momok-momokkan calon perdana menteri, poster boy. Tapi diam saja.

"Sedangkan parti-parti lain dah ketengahkan calon bakal perdana menteri. PN tampilkan Muhyiddin Yassin, PH pula Anwar Ibrahim. Yang depa (BN) apa pun takda lagi, kasihan dengan Ismail Sabri," katanya ketika ditemui dalam program Jalan Kaki Bersama Rakyat sempena kempennya di Arau, hari ini.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian ketika ditanya sejauh mana dia melihat BN mengangkat Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri.

Terdahulu Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau tidak dicalonkan semula oleh BN dan dia bertindak menyertai PN sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu.

Sementara itu Shahidan berkata walaupun usaha penyatuan ummah antara Umno, Bersatu dan PAS tidak berjaya - dia nekad akan memulakan usaha itu di Arau.

"Insya-Allah kita akan mulakan gerakan penyatuan ummah ini di Arau. Orang Umno, PAS dan Bersatu insya-Allah akan menyokong saya.

"Kedudukan ini akan menampakkan bahawa jumlah (undi) yang kita dapat nanti akan membuktikan rakyat mahukan perpaduan ummah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan