FMT Reporters
PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti pimpinan Muhyiddin Yassin, kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor.
Menerusi kenyataan hari ini, Hajiji berkata keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan parti adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.
Jelas beliau lagi, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan negeri ditunjangi oleh GRS dan Barisan Nasional (GRS-BN) juga telah mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi,” katanya.
Pada masa sama, Hajiji berkata beliau dan kepimpinan Sabah akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini, secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
Hajiji berkata, kepimpinan Bersatu membuat keputusan ini setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Katanya, keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.
“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah.
“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.
“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli Bersatu,” tambahnya.
Tindakan keluar Bersatu Sabah itu tidak mencetuskan implikasi undang-undang anti-lompat parti memandangkan calon yang meraih kemenangan bertanding di bawah GRS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan