Hariz Mohd
Polis telah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan terhadap dakwaan kekasaran yang dihadapi murid ketika kem motivasi di sebuah sekolah di Serdang, Selangor minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang AA Anbalagan ketika dihubungi berkata antara yang disoal siasat setakat ini adalah fasilitator yang terlibat, guru, dan ibu bapa murid yang menyertai kem selama dua hari itu.
Malaysiakini difahamkan ketua fasilitator, yang merupakan seorang doktor di sebuah pusat perubatan di Sarawak, turut disoal siasat. Dia dianggap sebagai suspek utama yang didakwa mengasari salah seorang mangsa.
Anbalagan mengesahkan polis telah mengambil keterangan doktor itu namun tidak mengulas lanjut.
Dia berkata polis memanggil beberapa lagi individu untuk diambil keterangan, termasuk murid yang didakwa dikasari serta saksi insiden.
Setakat ini, kita telah ambil keterangan 13 individu. Ada lagi yang akan dipanggil sebelum kita selesaikan siasatan.
"Kami jangka kertas siasatan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya minggu depan," katanya.
'Kem motivasi neraka' - Fasilitator didakwa kasari murid
Katanya lagi, polis belum mengambil keterangan mangsa dan murid yang dikatakan menyaksikan insiden tersebut memandangkan mereka di bawah umur, dan maka memerlukan prosedur khas.
Oleh itu, katanya lagi, soal itu akan dikendalikan pasukan profesonal di Pusat Temuduga Saksi Kanak-kanak (CIC).
CIC adalah kemudahan khas di bawah kendalian Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Ditolak ke dinding, hanya berseluar dalam di padang
Semalam, Malaysiakini melaporkan kira-kira 60 murid sebuah sekolah rendah di Serdang berdepan sejumlah kekasaran ketika menyertai kem motivasi yang diadakan pada 3 dan 4 disember lalu di sekolah tersebut.
Mereka antaranya didakwa disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, dihukum melakukan ketuk-ketampi beratus kali hanya kerana berbual serta dipukul dengan penyapu.
Seorang fasilitator didakwa mencekik seorang murid lelaki Darjah 5, menolaknya ke dinding, menamparnya beberapa kali dan memukulnya dengan penyapu.
Dia didakwa menuduh murid itu membawa vape ke kem dan tidak berpuas hati dengan penafiannya ketika ditanya berkenaan perkara itu.
Setakat semalam, polis telah menerima empat laporan polis dari ibu bapa.
Difahamkan sekumpulan ibu bapa pergi ke sekolah pada Isnin lalu bagi mendapatkan penjelasan dari pihak pengurusan.
Sumber berkata satu pertemuan diadakan keesokannya antara ibu bapa, pengurusan sekolah, wakil Jabatan Pendidikan Neger dan polis.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan maklum balas.
Difahamkan Jabatan Pendidikan Selangor telah diarahkan membuat siasatan dan dijangka mengeluarkan kenyataan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan