Ketua pembangkang: Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang dikatakan enggan memegang jawatan itu

Sumber: Takiyuddin, Hamzah calon ketua pembangkang

Haspaizi Zain

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan disebut-sebut menjadi calon ketua pembangkang yang akan dikemukakan Perikatan Nasional (PN).

Salah seorang pemimpin tertinggi PN yang enggan dinamakan berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang enggan memegang jawatan itu.

"Muhyiddin tidak mahu memegang jawatan itu, begitu juga Abdul Hadi tidak berhasrat untuk menduduki kerusi berkenaan.

"Berdepan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, PN perlu menampilkan pemimpin yang 'bertenaga'.

"Jadi, dua nama yang sedang dipertimbangkan PN untuk dilantik sebagai ketua pembangkang setakat ini ialah, Hamzah dan Takiyuddin," katanya kepada Malaysiakini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) PN membabitkan Bersatu, PAS dan Gerakan berjaya memenangi 73 kerusi parlimen.

PAS menyumbangkan kerusi paling banyak iaitu sebanyak 43 kerusi parlimen.

PN gagal membentuk kerajaan selepas BN, GPS, GRS dan Warisan membuat keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama PH dan menobatkan Anwar sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, sumber berkata PN juga turut mempertimbangkan untuk melantik Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ketua pembangkang.

"Bagaimanapun karekter Tuan Ibrahim yang dilihat agak 'lembut' agak kurang sesuai untuk jawatan itu. Kita memerlukan orang yang agresif untuk mengasak Anwar.

"Kemungkinan besar Hamzah, beliau juga merupakan 'seteru' Anwar," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan