KSU Perbendaharaan dicutikan, mungkin digantikan

Malaysiakini

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Asri Hamidin, dilaporkan diberi cuti dan pegawai baru akan dilantik ke jawatan berkenaan tidak lama lagi.

Menurut laporan berita, Perdana Menteri Anwar Ibrahim - yang turut memegang portfolio kewangan - menyatakan dalam sidang akhbarnya semalam, akan ada "KSP" baru akan dilantik.

KSP merujuk kepada akronim bagi ketua setiausaha perbendaharaan.

“Sudah tentu kita akan merujuk kepada pegawai kanan berkaitan dan KSP baru,” katanya seperti dipetik BH Online.

Sidang media tersebut diadakan pada hari pertama dia bertugas sebagai menteri kewangan.

Sementara itu The New Straits Times pula melaporkan Asri 'hilang' dari sidang media berkenaan dan difahamkan pegawai kanan terbabit diberian cuti.

Tidak jelas mengapa Asri perlu diganti dan siapa yang akan dilantik sebagai KSP baru. Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan komen lanjut.

Sementara itu, semasa sidang media semalam, Anwar berkata dia akan membincangkan mengenai peranan penasihat khasnya yang diketuai bekas presiden Petronas, Mohd Hassan Marican.

"Saya perlu berbincang dengan Tan Sri Hassan mengenai syarat serta keutamaan," katanya dipetik BH Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan