Pendakwah jawab isu ‘ustaz Pas’ kena sekat kuliah di Pahang

FAZLI RADZI

Pendakwah Ustaz Suhaimi Md Saad menempelak pihak yang tidak berpuas hati dengan sekatan yang dikenakan terhadap penceramah tertentu untuk berkuliah.

Menurutnya, ketika beliau sendiri disekat berkuliah sebelum ini, pelbagai pandangan dilontarkan termasuk memintanya supaya redha dan menerima keputusan itu sebagai takdir.

“Bagi sahabat-sahabat saya yang terbuka dan berjiwa besar yg mempertahankan saya berkuliah di masjid dan suraunya, anda layak untuk bercakap dan menegur dalam isu ini.

“Tetapi yang bersekongkol dan menyokong kuliah saya dihentikan, harap dapat cermin muka dulu.

“Takkan dah lupa? Ketika sekumpulan asatizah disekat berkuliah, pelbagai dalil digunakan untuk menghalalkan tindakan menyekat kuliah ketika itu,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, Suhaimi mengingatkan bahawa segala yang berlaku hanya bersifat sementara.

“Ibarat roda yang berputar, yang di bawah tak kekal, ia akan naik ke atas, yang di atas akan turun ke bawah. Demikianlah silih berganti,” katanya lagi.

Reaksi beliau itu susulan wujudnya kekecohan berhubung sekatan terhadap penceramah tertentu untuk berkuliah di masjid.

“Macam nak tergelak pun ada. Bukan nak tergelak pada Ustaz yang kena sekat tu. Doa saya, moga Allah permudah urusan Al-Fadhil Ustaz Mujib.

“Tapi saya nak tergelak pada gerombolan manusia yang beri komen marahkan isu ini. Saya kenal sangat orang-orang yang memberi komen berapi tu,” tambah Suhaimi lagi.

Dalam hal berkaitan, pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol menjelaskan isu pengguguran beberapa pengerusi masjid di negeri itu.

Menurutnya, mereka terbabit pada PRU15 lalu telah membenarkan program kutipan dana pilihan raya dalam dewan masjid.

Malah, mereka juga didapati terlibat dalam pelancaran jentera pilihan raya parti dalam dewan masjid.

“Anda nilailah sendiri,” ciapnya di Twitter berkongsikan hantaran Facebook seorang penyokong Pas, Jamsari Jam berkenaan pelancaran jentera pilihan raya Pas Permatang Pauh menjelang PRU15 lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan