FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menyiasat pasangan dari Rusia selepas mereka merakam dan memuat naik gambar ketika berada di puncak Menara Merdeka 118, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman berkata, pasangan itu yang dikenali sebagai Ivan Beerkus dan Angela Nikolau disiasat kerana disyaki menceroboh bagi memanjat bangunan berkenaan, lapor Berita Harian.
“Polis akan memanggil pasangan berkenaan untuk dirakam keterangan mereka.
“Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya yang dipetik Berita Harian.
Menurut laporan Berita Harian, gambar Ivan dan Angela dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.
Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’.
Sementara itu, Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.
“Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan, tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” katanya.
Pasangan itu sememangnya dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan