Selepas ramai rakyat suka Anwar jadi PM, apa lagi yang Mahathir tidak puas hati?

SHAHBUDIN HUSIN

Tun Dr Mahathir Mohamad yang kalah dengan hilang deposit di Langkawi, malah semua calon Pejuang juga ditimpa nasib buruk yang sama, nampaknya tidak pernah hilang idea dalam melontarkan serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di sebalik sudah meletakkan jawatan daripada Pejuang dan mengumumkan bersara, hati dan mulut beliau terbukti tidak pernah berhenti daripada berdendam.

Setelah gagal menahan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri, kali ini serangannya tertumpu kepada kemampuan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pula dalam mengurus negara.

Katanya, beliau tidak yakin dengan keupayaan Anwar memimpin negara untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi, termasuk pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu khuatir dengan kemampuan Anwar menghasilkan strategi dan kaedah terbaik untuk keluar daripada krisis, memandangkan fokus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.

Beliau menyandarkan dakwaannya berdasarkan prestasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu dan mendakwa bekas timbalannya itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku Perdana Menteri pada 1997 dahulu.

Beliau mendakwa, Anwar selaku Menteri Kewangan ketika itu gagal mencari jalan penyelesaian apabila krisis kewangan melanda dan lebih rela mengikut pendapat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang dikatakan berisiko menyebabkan Malaysia muflis.

“Pada masa saya jadi Perdana Menteri kali pertama, saya pergi cuti selama dua bulan. Semasa saya cuti, Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri diberi tanggungjawab sebagai pemangku Perdana Menteri tetapi nampak dia tak dapat menangani masalah.

“Selepas itu pula, berlaku krisis kewangan yang mana ringgit Malaysia turun nilainya. Pada masa itu, Anwar juga menjadi Menteri Kewangan.

“Cara dia menangani masalah kejatuhan nilai ringgit ialah dengan mengikuti pendapat IMF dan Bank Dunia.

“Saya berpendapat, kalau kita ikut IMF dan Bank Dunia, kita akan jadi muflis dan kita tak dapat laksanakan dasar ekonomi negara kita.
PM Anwar dikerumuni ramai rakyat setiap kali turun ke lapangan manakala Mahathir terbukti ditolak rakyat apabila tersungkur teruk pada PRU15 lalu.
“Tetapi, Anwar tak ada cadangan yang lain selain daripada mengikuti IMF dan Bank Dunia, sebab itu saya terpaksa ambil alih tugas Kementerian Kewangan, saya cari jalan untuk selamatkan negara,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian.

Antara pencapaian Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar dalam tempoh sebulan sejak dilantik menjadi PM10.
Tun Mahathir seterusnya mendakwa, jika ketika itu Anwar dibenarkan berkuasa dan melaksanakan dasarnya, beliau yakin negara tidak akan dapat mengatasi masalah krisis kewangan yang melanda negara.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengakui khuatir dengan kebolehan Anwar mengurus negara kerana berdasarkan pengalaman lampau di mana Presiden PKR itu gagal merangka penyelesaian ketika berdepan krisis kewangan 1997/1998, apatah lagi kini berdepan lebih banyak masalah rumit.

“Ketika itu, nampak dia tidak dapat cipta satu cara untuk mengatasi krisis. Sama ada di masa hadapan, dia boleh cipta cara menangani masalah negara, belum kita dapat tentukan.

“Tetapi berdasarkan pengalaman semasa dia jadi TPM (dan) menunjuk kebolehannya, saya khuatir. Sekarang ini negara menghadapi banyak masalah seperti kesan pandemik, ekonomi merosot teruk, keadaan politik tidak stabil,” katanya lagi.

Soalnya dalam hal ini, Anwar hanya baru kira-kira sebulan memegang jawatan Perdana Menteri setelah mengangkat sumpah pada 24 November lalu dan tidak adil untuk berprasangka buruk terhadapnya.

Tidak bolehkah Tun Mahathir memberi sedikit masa kepada Anwar untuk menjalankan tanggungjawab dan membuktikan kebolehannnya?

Kenapa begitu begitu cepat berprasangka jahat hanya berdasarkan situasi yang lebih 24 tahun telah berlalu?

Lagi pula, dalam keadaan sekarang, siapa lagi yang lebih baik daripada Anwar untuk jadi Perdana Menteri?

Adakah Tun Mahathir mahukan Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob dilantik semula dan berasakan mereka lebih berkemampuan daripada Anwar?

Setelah Tun Mahathir sendiri kalah, malah hilang deposit, begitu juga dengan Mukhriz dan semua kita sudah melalui pengalaman dipimpin Mahiaddin serta Ismail Sabri, bukankah hanya tinggal Anwar pilihan terbaik yang ada pada ketika ini?

Ditambah dengan keabsahan Anwar sudah terbukti di Parlimen baru-baru ini, apa lagi yang Tun Mahathir mahu sebenarnya sebelum ketibaan PRU16 pada tahun 2027 akan datang di mana ketika itulah peluang terdekat untuk menukar Perdana Menteri?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan