Anggota polis mengaku 24 tuduhan rogol

Reuters

Mahkamah menetapkan 6 Februari untuk hukuman terhadap David Carrick. (Gambar AP)
LONDON: Seorang anggota polis mengaku salah atas 24 tuduhan rogol sepanjang hampir dua dekad, menjadikannya antara pesalah jenayah seksual terburuk Britain.

Polis Metropolitan dan pendakwa negara itu berkata, David Carrick, 48, menggunakan kedudukannya untuk mengawal dan menakutkan mangsanya, dengan mengancam bahawa tiada sesiapa akan mempercayai tuduhan mereka terhadap seorang anggota polis.

Pihak polis kebelakangan ini menghadapi pelbagai skandal yang menghakis kepercayaan ramai terhadap mereka, meminta maaf kerana gagal menghidu perbuatan Carrick.

Carrick mengaku salah atas 49 tuduhan melibatkan 12 mangsa antara 2003 hingga 2020.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Barbara Gray berkata pola perbuatan tertuduh sepatutnya dikesan lebih awal.

“Disebabkan kegagalan itu, kami gagal menyingkirkannya daripada organisasi ini,” katanya.

“Kami benar-benar memohon maaf kerana Carrick dibiarkan terus menggunakan kedudukannya sebagai anggota polis untuk menyeksa mangsanya.”

Polis Metropolitan turut memuji mangsa kerana berani tampil memberi keterangan.

Carrick yang menjadi anggota polis pada 2001 mengasingkan mangsa-mangsanya dari segi sosial dan kewangan, malah kerap mengurung mereka dan mengawal segala tindak-tanduk mereka.

Mahkamah menetapkan 6 Februari untuk hukuman terhadapnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan