Malaysiakini
Seolah-olah menyahut kritikan warga maya, bekas timbalan menteri agama Marzuk Shaary pula menjadi pihak terkini mengecam filem thriller seram Pulau.
Dakwanya, filem yang dijadual ditayangkan di pawagam pada 9 Mac itu “mengandungi babak lucah dan berlebihan”.
Pemimpin pusat PAS itu itu menyindir pemimpin kerajaan sebagai berdiam diri dalam isu itu.
“Tidak ada menteri yang bersuara pun?” sindirnya di Facebook awal petang ini.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada penerbit atau sutradara filem arahan Euho itu.
GSC semalam memuat naik trailer filem itu ke Youtube.
Menurut rangkaian panggung wayang itu, ia mengisahkan tentang percutian sekumpulan anak muda yang bertukar mimpi ngeri selepas bermalam di sebuah pulau terpencil.
Terjumpa sebuah perkampungan terbiar, mereka secara tidak sengaja mematahkan mantera lama yang diletakkan untuk menahan semangat jahat yang terperangkap.
“Seorang demi seorang menderita akibat yang mencengkam dan mengerikan dari kesilapan mereka, menimbulkan kemarahan makhluk jahat yang memerlukan darah manusia untuk terus hidup,” menurut keterangan ringkasnya.
Trailer sama dimuat naik oleh syarikat pemasaran dan jaringan hiburan WebTV Asia beberapa hari sebelum itu.
Terdapat Pengguna maya menyuarakan rasa tidak senang dengan filem itu, yang antaranya memaparkan wanita memakai bikini.
Mereka antaranya berhujah pemakaian watak-wataknya seperti dalam filem Hollywood.
Ia antaranya dibintangi oleh Amelia Henderson Alif Satar, Ms PuiYi, Namron dan Wan Hanafi Su.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan