SHAFIQAH MUKHSIN
Tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Moslem Priest’ telah mendapat perhatian warganet yang tidak senang melihat perkataan ‘priest’ digunakan oleh orang Islam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel di laman sesawangnya semalam menjelaskan bahawa adalah haram untuk orang Islam menggunakan gelaran ‘priest’.
‘Priest’ merujuk kepada satu gelaran khusus yang sinonim dengan agama Kristian, malah ia sebenarnya merujuk kepada seorang paderi yang melaksanakan tugas-tugas keagamaan bagi gereja Kristian.
PMWP berkata, pengharaman gelaran itu dibuat kerana ia meniru syiar agama lain, serta larangan daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap diri sendiri dan agama Islam.
“Hal ini berdasarkan tegahan daripada Nabi Muhammad S.A.W yang melarang umat Islam daripada menyerupai atau meniru orang kafir (tasyabbuh bil kuffar) dari sudut identiti, lambang atau syiar mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, Imam al-San‘ani menjelaskan ada hadis menunjukkan bahawa sesiapa menyerupai atau meniru orang yang fasiq dari sudut pakaian dan perilaku orang kafir atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka.
Manakala, jelas Imam Ibn. Kathir pula, hadis itu menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan.
Disebabkan itu PMWP dalam kenyataan berkata, umat Islam perlu menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah sama ada terhadap diri sendiri, dan lebih-lebih lagi terhadap nama baik agama.
Sebelum ini tular video seorang rakyat Malaysia yang menceritakan bagaimana dia mendapat gelaran ‘Moslem Priest’ dan menjadikan itu nama pentas sebagai produser serta penyanyi.
Menerusi carian gambar di Google, lelaki itu tampil dengan memakai songkok dan berbaju hitam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan