Wanita terjun sungai elak ditahan polis dikhuatiri lemas

Khairulmizan Yahya

bhnews@bh.com.my
Anggota bomba melakukan pencarian seorang wanita dikhuatiri lemas di sekitar tebing sungai dekat Pulau Biawak, Batu Tiga, Kuantan. NSTP/Khairulmizan Yahya

Anggota bomba melakukan pencarian seorang wanita dikhuatiri lemas di sekitar tebing sungai dekat Pulau Biawak, Batu Tiga, Kuantan. NSTP/Khairulmizan Yahya
KUANTAN: Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis, di Pulau Biawak, Batu Tiga, di sini, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan wanita berusia 42 tahun itu pada jam 2.53 petang ini.

Berikutan itu, katanya, sepasukan 10 pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuantan digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan.

Katanya, berdasarkan laporan, terdapat seorang wanita disyaki lemas dan maklumat daripada keluarga menyatakan mangsa lari daripada serbuan polis yang dilakukan semalam.

"Kami membuat tindakan awal dengan mencari mangsa di tepi sungai sekitar lokasi kejadian.

"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuantan juga diarahkan bersiap sedia bagi misi mencari dan menyelamat di dalam air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan, berkata kehilangan wanita itu hanya disedari selepas dimaklumkan oleh rakan mangsa.

"Menurut cerita saksi, dua lelaki warga asing cuba menyelamatkannya, namun gagal sebelum wanita berkenaan tenggelam dan gagal dikesan.

"Keluarga kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi," katanya.

Katanya, mangsa mempunyai tujuh anak berusia 16 tahun hingga 27 tahun, namun sudah lama bercerai dengan suaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan