Akibat berdua-duaan di kebun, budak bawah umur dinikahkan

KOSMO!
Pasangan itu dilaporkan ditangkap berdua-duaan di kebun. - detik
JAKARTA – Pejabat Pemerkasaan Wanita, Perlindungan Anak, Kawalan Kependudukan dan Perancangan Keluarga Wilayah Sulawesi mengulas isu kes perkahwinan pasangan bawah umur yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor laman berita Suara.com.

Perkahwinan itu dikatakan berlaku di daerah Bantaeng, Sulawesi Selatan.

“Kelmarin pasukan kami ke lokasi tersebut. Pasangan itu didapati berdua-duaan dikebun, entah apa yang mereka lakukan,” kata Ketua Unit Pelaksanaan Teknikal Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak (UPT PPA), Meisy Papayungan.

Menurutnya, pengantin lelaki berinisial D berusia 12 tahun dan pengantin perempuan berinisial SL pula berusia 16 tahun.

Berdasarkan maklumat yang diterima Meisy, rata-rata penduduk mengambil tindakan sedemikian untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Bagaimanapun, setelah disemak, ternyata tiada seorang pun pegawai kampung yang mengetahui tentang perkahwinan itu.

“Risiko perkahwinan sekiranya anak ini hamil dan bersalin, status perkahwinan mereka tidak direkodkan di negeri ini. Apabila bayi itu lahir, dia mungkin tidak mempunyai sijil kelahiran kerana ibu bapanya tiada buku nikah.

“Masalah ini belum selesai kerana jika perkara seperti ini berlaku, ia sepatutnya dielakkan bukan diselesaikan dengan perkahwinan,” katanya. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan