Dedah skandal broker tanah, wartawan maut dibunuh

 Agensi

KEADAAN motosikal mangsa selepas dilanggar. FOTO Agensi

New Delhi: Pembunuhan seorang wartawan India yang melaporkan skandal mengenai broker tanah yang berkuasa mencetuskan kemarahan dan kebimbangan yang meluas terhadap keselamatan pekerja media di negara itu.

Shashikant Warishe, 48, menulis berita mengenai projek penapisan kontroversi di negeri Maharashtra dan broker hartanah, Pandharinath Amberkar yang didakwa terbabit dalam memperoleh tanah penduduk kampung untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Beberapa jam selepas artikel itu diterbitkan, Warishe sedang mengisi minyak motosikalnya di sebuah petrol pam di Rajapur apabila dia digilis oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan meninggal dunia.

Portal Independent melaporkan, polis menahan Amberkar, 42, kerana disyaki memandu kenderaan itu dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Warishe adalah satu-satunya orang yang bekerja dalam keluarganya dan meninggalkan ibu, isteri dan anak lelaki mereka yang berusia 18 tahun.

Pengarang akhbar harian, Mahanagari Times Sadashiv Kerkar berkata, mangsa adalah seorang wartawan yang terkenal dengan kerjanya membuat liputan projek penapisan itu, tetapi tiada siapa yang pernah membayangkan dia akan dibunuh seperti itu.

"Kerja beliau secara konsisten tertumpu kepada isu tempatan, politik dan beliau menulis berita yang menonjolkan nasib penduduk kampung yang terjejas oleh projek Penapisan Ratnagiri dan Petrokimia.

"Penduduk kampung selalu bercerita dan memaklumkan perkembangan di kawasan itu dan dia tidak gentar dan tidak takut apa-apa," katanya.

Pemerhati media Reporters Without Borders (RSF) berkata, Warishe sebelum ini menerima ugutan bunuh atas kerjanya.

Ketua Meja Asia-Pasifik RSF Daniel Bastard menggelar pembunuhan wartawan itu mengejutkan dan tidak boleh ditoleransi serta meminta pembunuhnya dibawa ke muka pengadilan.

Kerkar berkata, Warishe menghubunginya pada Ahad memberitahu mengenai berita diperolehnya sehari sebelum tragedi meragut nyawanya itu.

"Saya bertanya kepadanya sama ada dia mempunyai bukti untuk membuktikannya dan dia berkata ya, jadi kami meneruskan penerbitan berita itu," kata Kerkar.

Laporan itu memuatkan gambar yang dikongsi oleh Amberkar mengenai dirinya bersama Perdana Menteri Narendra Modi, Ketua Menteri Negeri Eknath Shinde dan Timbalan Ketua Menteri Devendra Fadnavis.

Laporan itu menanyakan soalan mengenai mengapa seorang lelaki yang dikenali sebagai penyokong projek Kilang Penapisan dan Petrokimia Ratnagiri menghebahkan gambar dirinya bersama pemimpin politik.

Projek itu yang dinamakan sempena daerah Ratnagiri di pantai Konkan ditentang hebat penduduk tempatan yang berisiko tanah mereka diambil alih.

Ia dibatalkan pada 2019 tetapi kerajaan persekutuan India membayangkan untuk menghidupkan semula projek itu tahun lalu.

Dalam laporan beritanya, Warishe menamakan Pandharinath Amberkar dan mendakwa dia mempunyai sejarah kegiatan jenayah.

Mereka juga mendakwa, dia mempunyai aduan polis yang dibuat terhadapnya kerana mengancam penduduk tempatan yang menentang projek penapisan itu.

Amberkar ditangkap selepas kematian Warishe pada Selasa dan didakwa menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Dhananjay Kulkarni, penguasa polis Ratnagiri, memberitahu The Indian Express, motif di sebalik pembunuhan itu masih belum diketahui.

"Kami menahannya dan akan menyoal siasatnya untuk memastikan motif serta profesionnya," katanya.

- hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan