'Mayat itu kakak saya...'

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: "Saya langsung tak sangka kakak terbabit kemalangan. Apabila kain putih itu diselak, saya terkejut melihat mayatnya," kata Muhammad Rezza Afiqie Ali Mohd Nor, 27.

Kakaknya, Noor Izwani, 35, maut bersama rakan sekerjanya, Nuraisah Djaapar, 36, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, dekat sini, jam 7.40 pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk bekerja di Batu Berendam sebelum terserempak kemalangan terbabit.

"Saya keluar dari rumah di Jalan Pasir Gembor 2, Kampung Sempang, Merlimau jam 8.05 pagi dan berhenti melihat kemalangan jalan raya.

"Pada mulanya saya langsung tidak perasan kereta kakak yang remuk dan sebaik kain putih menutupi salah satu mayat diselak oleh seorang lelaki, saya nampak wajah kakak.

"Saya terus memberitahu anggota polis bertugas bahawa saya waris si mati dan meminta izin untuk masuk melihat mayat," katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Muhammad Rezza Afiqie berkata, mangsa adalah anak ketiga daripada lapan beradik dan seorang ibu tunggal kepada dua anak berusia tujuh dan enam tahun.

Menurutnya, selepas bercerai, kakaknya yang sebelum ini berniaga di Port Dickson, Negeri Sembilan tinggal bersama bapa di kampung dan bekerja di sebuah kilang.

"Kami tinggal bersama iaitu saya, ayah, kakak dan dua anaknya. Arwah seorang yang penyayang dan peramah.

"Cuma semalam (kelmarin) saya perasan ada sedikit perubahan apabila kakak tiba-tiba jadi pendiam, tapi tidak sangka itu jadi petanda kematiannya," katanya sambil memaklumkan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sempang, Merlimau.

Sementara itu, bapa Nuraisah, Djaapar Umareng, 62, berkata, dia masih terbayang-bayang wajah anak sulung daripada empat beradik itu menikmati sup ketam dimasaknya petang semalam.

Katanya, arwah yang masih bujang seorang penggemar makanan laut seperti ketam, udang dan sotong namun tidak suka memakan ikan.

"Kebetulan semalam (kelmarin) saya dapat menjaring beberapa ekor ketam bunga yang saya masak sup dan arwah sempat minta seekor untuk masak sambal.

"Saya tengok dia makan cukup berselera sup ketam dan ketam masak sambal itu membuatkan saya sayu, namun reda ajal dan maut ketentuan Allah," katanya sambil memberitahu jenayah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Serkam Darat.

Djaapar berkata, arwah anak yang banyak membantu kehidupan mereka sekeluarga termasuk membeli perkakasan rumah hasil bekerja kilang kira-kira enam tahun lalu, apatah lagi dia hanya bekerja seorang nelayan pantai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan