Faisal Asyraf
PETALING JAYA: Dua bekas pemimpin Umno berkata peluang untuk parti itu memenangi kerusi pada pilihan raya negeri Selangor akan datang adalah tipis berikutan “gelombang hijau” Perikatan Nasional (PN).
Bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, berkata ia berdasarkan keputusan PRU15, di mana Umno kehilangan kubu kuatnya di negeri itu.
“Ramalan saya ialah sukar untuk Umno menang di Selangor. Kerusi DUN mana yang boleh dimenanginya?
“Berdasarkan keputusan PRU15, ia kehilangan semua kubu kuatnya, seperti Sabak Bernam dan Tanjong Karang. PN memenangi tiga kerusi ini.
“(Jadi) Saya tidak nampak Umno boleh menang melainkan mereka bergantung kepada undi bukan Melayu,” katanya pada sidang media di Tanjong Karang semalam.
Noh berkata, beberapa pengundi Melayu di Tanjong Karang yang mengundi Umno pada PRU15 memberitahunya mereka tidak akan mengundi parti itu jika tahu Umno akan terus “berkawan” dengan DAP.
“Inilah sentimen penyokong Umno sekarang,” kata bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu.
Sementara itu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut meramalkan saingan sukar untuk Umno memenangi kerusi di Selangor dan mengatasi “gelombang hijau”.
“Pilihan raya lalu, PN membuat kejutan apabila memenangi kawasan seperti Kuala Langat dan Kapar.
“Adakah anda fikir (gelombang ini) hanya di tempat seperti Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar, dan Sabak Bernam?
“Tidak. Ia kini sampai ke Sepang dan saya fikir sukar untuk Umno menghadapinya,” katanya dalam satu majlis di Bukit Damansara beberapa hari lalu.
Ketika diminta meramalkan peluang Umno untuk menang secara keseluruhannya dalam pilihan raya negeri akan datang, Khairy, yang tewas di Sungai Buloh pada PRU15 berkata, Umno akan “bungkus” terutama di negeri utara.
Khairy antara pemimpin Umno yang dipecat bulan lalu kerana melanggar disiplin parti semasa kempen PRU15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan