Hmetro
Kuala Lumpur: Seorang bekas Menteri Kewangan dan beberapa individu kenamaan lain antara disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan 'Pandora Papers' yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta luar biasa di luar negara.
Difahamkan, menteri berkenaan sudah diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Sumber yang dilapor BH berkata, siasatan ketika ini adalah menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu dan kaitan dengan syarikat luar pesisir di luar negara.
SPRM juga menyiasat, adakah terdapat hubung kait kewangan yang dimilik hasil daripada tender dan projek kerajaan.
Setakat ini juga, difahamkan tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.
Malah ramai lagi individu termasuk bekas menteri dan keluarga yang mempunyai kaitan dengan dakwaan 'Pandora Papers'.
Sementara itu, usaha BH untuk menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika ini masih belum berhasil.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.
Beliau pada sesi Parlimen 2021, berang malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul itu, malah mendakwa, Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai 'peguam bela' kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.
Anwar berkata, pendedahan `Pandora Papers' itu perlu dibentang dan dibahaskan dengan segera kerana wujud dakwaan menyatakan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, mencecah ratusan bilion.
Katanya, ia wajar dibahaskan segera kerana ia bukan saja membabitkan Pandora Papers, tetapi juga laporan Global Financial Integrity 2012 serta pendedahan Panama Papers pada 2015.
Pendedahan Pandora Paper menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia termasuk empat ahli politik di antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan