14 tahun bersembunyi di gua

Agensi
LIU Moufu tinggal di gua ini selama 14 tahun. FOTO Agensi
LIU Moufu tinggal di gua ini selama 14 tahun. FOTO Agensi
Beijing: Gara-gara mahu mengelak ditangkap polis, lelaki di China yang melakukan rompakan stesen minyak pada 2009 sanggup menghabiskan 14 tahun hidupnya dengan bersembunyi di dalam gua.

Oddity Central melaporkan, Liu Moufu, dari sebuah kampung di Enshi City, wilayah Hubei di China, berusia pertengahan 30-an ketika melakukan rompakan stesen minyak bersama abang ipar dan seorang rakan.

Hasilnya, mereka dapat melarikan 156 yuan (kira-kira RM101) dengan 60 yuan (kira-kira RM39) dibelanjakan untuk membeli makanan dan bunga api, manakala bakinya tinggal 32 yuan (kira-kira RM21) saja untuk setiap seorang.

Mereka kemudian membawa haluan masing-masing, namun polis dapat menahan rakan Liu yang terbabit sama dalam rompakan itu.

Menyedari dirinya diburu pihak berkuasa, Liu nekad melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan ketika polis menggeledah rumah dan menyoal siasat ahli keluarganya.

Liu kemudian menjadikan sebuah gua sebagai tempatnya berteduh dan mula memburu binatang dan adakala mencuri barangan seperti kentang dan daging di kampung asalnya.

Sesekali, Liu pergi berjumpa dengan ibu bapanya selama beberapa minit dan hanya pulang ke rumah ketika perayaan besar.

Walaupun isteri dan ibu bapanya berkali-kali cuba memintanya menyerah diri, Liu sering kali menolak untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, Liu akhirnya memutuskan untuk menyerah diri pada bulan lalu.

"Saya berusia lebih 50 tahun, isteri saya tidak sihat, dan saya mempunyai cucu yang sangat cantik.

"Saya mahu hidup normal! Saya merompak 156 yuan (kira-kira RM101)? dan bersembunyi di dalam gua selama 14 tahun! Saya menyesal!" Liu dilaporkan memberitahu penyiasat.

Difahamkan, Liu menggunakan senjata api ketika melakukan rompakan bermakna dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Walaupun jumlah wang diambil sedikit, rompakan masih dianggap sebagai jenayah serius.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan