Yasmin Abd Latif dan Faiz Zainudin
SHAH ALAM: Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa kuasa politik terdahulu melindungi golongan penjenayah dan perasuah selama mentadbir negara.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan di bawah pentadbirannya akan memastikan tiada mana-mana pihak akan terlepas daripada siasatan rasuah serta kutipan cukai.
“Kamu kaya berbilion cukai tidak mahu bayar, bawa lari keluar negara, saya akan kutip cukai dari rakyat tapi saya tidak akan lepaskan tauke-tauke dan maha kaya dari membayar cukai. Sebab itu kita akan buat siasatan kononnya ada tindakan politik.
“Bezanya selama ini kuasa politik melindungi penjenayah besar, kuasai politik melindungi perasuah besar, kuasai politik memperkayakan beberapa kuasa penguasa, gunakan kuasa melindungi mereka dan hentam rakyat,” katanya dalam ucapan Kongres PKR di Stadium Melawati, Shah Alam hari ini.
Anwar berkata, rakyat kini bukan menilai daripada ungkapan semata-mata tetapi apa dilihat adalah dari segi perlaksanaan pimpinan berada dalam kerajaan perpaduan ini.
“Sekarang kita ditampuk pemerintahan kita bukan dinilai dari ungkapan lakaran, kita akan dinilai dari segi amalan perlaksanaan bukan perdana menteri atau menteri semata tapi seluruh parti dalam gagasan kerajaan perpaduan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kerjasama bersama Umno, GPS dan GRS tidak akan mengganggu gugat proses kehakiman atau undang-undang dalam membasmi rasuah.
Menurutnya, selama empat bulan kerajaan perpaduan mentadbir, tiada sebarang gangguan atau campur tangan dari mana-mana pihak dalam segala siasatan rasuah dan penyelewengan.
“Kita bersama tetapi tidak pernah berkompromi tentang idelisme. Ada yang tanya, mengapa kita memilih bersama Umno dan BN saya jawab empat bulan lebih dalam kerajaan tidak sedikit pun kita bertolak ansur soal negara hukum, anti rasuah kita memilih membela nasib rakyat.
“Belum ada sekali satu kes sama ada dalam badan kehakiman mahupun proses tender, belum pernah sekali di mana ada gangguan dalam kalangan pemimpin dalam kerajaan perpaduan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang sentimen perkauman dalam memastikan hak orang Melayu, bumiputera dan kesucian Raja-Raja Melayu terus terpelihara.
“Ya, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan Islam adalah agama rasmi, dan kita masih mengekalkan keistimewaan untuk orang Melayu dan bumiputera, kita menjaga kesucian Raja-Raja Melayu.
“Tetapi kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan prinsip bahawa ini adalah negara untuk semua rakyat Malaysia. Saya akan menggunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada pada saya untuk menghentikan kegilaan ini, kegilaan melawan kaum dan agama lain,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan