Azhar Idrus tak dibenar ceramah di Sarawak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Azhar Idrus antara penceramah bebas yang tidak dibenarkan mengadakan ceramah agama di masjid dan surau di Sarawak.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata penceramah tidak mempunyai latar belakang lengkap bidang agama tidak dibenarkan mengadakan ceramah.

Beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam negeri berkata, larangan itu terpakai kepada mereka yang tidak diberi tauliah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), termasuk di beberapa negeri lain di Semenanjung.

“Sebelum ini pun ada beberapa orang penceramah yang tidak beri tauliah untuk berceramah di Sarawak kerana mereka tidak ada latar belakang lengkap dalam bidang agama dan pada sama ada juga beberapa orang tidak mendapat tauliah di Semenanjung, maka kita pun mengambil tindakan sama.

“Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) memberi penekanan hanya kepada penceramah agama yang ada latar belakang lengkap untuk menyampaikan maklumat mengenai hal ehwal Islam kepada masyarakat Islam di seluruh Sarawak,” katanya menurut Harian Metro.

Rahman berkata, jika ada penceramah bebas khususnya dari Semenanjung berhasrat menyampaikan ceramah, mereka harus menghubungi pihak Jais secara peribadi.

“Ini bagi membolehkan pihak Jais membuat penelitian kerana hanya mereka yang diberi tauliah dikeluarkan oleh pengarah Jais saja boleh menyampaikan ceramah,” katanya.

Pada 12 Mac, akhbar itu melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat November lalu menyatakan Azhar antara 30 pendakwah selebriti yang tidak mempunyai tauliah berceramah dan kuliah di negeri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan