Banjir: 2 warga emas lemas, air naik hingga bumbung rumah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua warga emas ditemui lemas dalam rumah masing-masing yang dinaiki air di Segamat, Johor.

Berdasarkan keadaan mayat, dua warga emas itu dipercayai berusaha menyelamatkan diri hingga saat akhir, tetapi gagal.

Ketua Polis Segamat, Ahmad Zamry Marinsah berkata, dua mangsa yang tinggal berseorangan di rumah masing-masing di Jalan Kongsai, Kampung Baru Chaah, dipercayai lemas selepas rumah mereka dinaiki air hingga ke paras bumbung.

Katanya, mayat seorang lelaki dan wanita berusia 70-an itu ditemui dalam bilik di rumah mereka.

“Mangsa wanita ditemui pada 9 pagi, manakala mayat lelaki dijumpai 11 pagi selepas banjir surut,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, ahli keluarga dua mangsa itu membuat laporan polis pada 8 pagi selepas gagal dihubungi mereka.

Katanya, mayat dua warga emas itu dihantar ke Hospital Segamat untuk proses bedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan