‘Datuk Roy’ menyerah diri kepada SPRM

Faisal Asyraf
‘Datuk Roy’ atau nama sebenarnya Hussein Nasir ditahan SPRM petang tadi.
PETALING JAYA: Lelaki berusia 54 tahun dikenali “Datuk Roy” yang dipercayai menjadi perancang utama kes rasuah melibatkan program Jana Wibawa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber SPRM berkata, Hussein Nasir, 54, ditahan selepas menyerah diri kepada agensi anti-rasuah itu petang tadi.

“Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan perintah reman,” kata sumber itu kepada FMT.

Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

Semalam, FMT melaporkan seorang lelaki berusia 50-an, dikenali sebagai “Datuk Roy”, dicari SPRM kerana didakwa menjadi “perancang utama” kes rasuah berkaitan siasatan agensi anti-rasuah ke atas program Jana Wibawa.

Difahamkan, lelaki itu pernah dipenjarakan kerana kesalahan rasuah sebelum ini.

Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM, ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan