MALAYSIADATELINE
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan membidas pemimpin Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang antara lain mempersoal tiada laporan yang menyatakan Perdana Menteri dijemput memasuki Kaabah.
Sany menegaskan bahawa negara dan rakyat memerlukan pelaburan masuk ke Malaysia dari negara yang Perdana Menteri lawati.
Malah, wakil rakyat AMANAH itu menyifatkan lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi pada 22 hingga 24 Mac lalu sebagai berjaya.
“Tugas untuk negara, rakyat dan termasuk pembangkang sudah berjaya diselesaikan oleh PM Anwar dalam kunjungan ini dengan terbaik sekali.
“Apa yang rakyat dan negara dapat kalau PM Anwar dapat masuk Kaabah sebagaimana yang dikehendaki oleh Wan Fayhsal?
“Jadi, apa yang walaun semua nak bising ni sebenarnya?” tempelak Sany lagi dengan merujuk penyokong pembangkang terutama Pas sebagai ‘walaun’.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dalam kenyataannya mempersoal kegagalan Anwar berjumpa dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota semasa lawatan ke Arab Saudi yang berakhir kelmarin.
Ahli Parlimen Machang yang mengetuai jawatankuasa hal ehwal antarabangsa PN itu berkata, jemputan memasuki Kaabah merupakan layanan yang biasa diberikan kepada seorang ketua kerajaan yang mengadakan lawatan rasmi ke negara tersebut.
“Apakah penjelasan Pejabat Perdana Menteri (PMO) di atas ketiadaan pertemuan di antara YAB Perdana Menteri dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman walaupun kenyataan Wisma Putra telah mengesahkan pertemuan tersebut bakal diadakan?
“Adakah PMO telah memastikan segala aturan jemputan dan pertemuan sudah disahkan terlebih dahulu sebelum YAB Perdana Menteri berlepas ke Arab Saudi?” soalnya.
Mengulas lanjut, Sany berkata, Perdana Menteri Anwar telah bertemu dengan pihak Bank Islam Antarabangsa (IDB) yang berpusat di Saudi selain berjumpa dengan komuniti perniagaan di sana.
Jelasnya, tiga memorandum persefahaman (MoU) dimeterai iaitu antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.
Selain itu, kata Sany, rakyat menginginkan hubungan baik dengan negara yang pemimpin Malaysia lawati berjaya dibina.
“Terbukti, PM Anwar telah menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung OIC Tuan Yang Terutama Hussein Brahim Taha dan rombongannya di Mekah.
“Kita sedar peranan OIC amat besar dalam komuniti Islam di seluruh dunia.
“Dalam pertemuan itu, pelbagai isu yang dibincangkan antaranya isu negara Palestin, Afghanistan, Islamofobia, proses rundingan damai selatan Thai dan Filipina serta beberapa permasalahan lain yang dihadapi umat Islam saat ini,” kata Sany lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan