Ronasina
Umum mengetahui, puasa selain daripada salah satu ritual dalam agama besar di dunia ini, ia juga merupakan satu amalan baik dari sudut kesihatan. Kita disuruh berpuasa oleh doktor sebelum kita melakukan sebarang ujian pemeriksaan sama ada mengambil sampel darah atau air kencing. Sebelum menjalani pembedahan juga kita disuruh berpuasa. Makanya secara tidak langsung amalan berpuasa itu hampir semua manusia sedia maklum akannya sama ada dari sudut agama mahupun ilmu kesihatan.
Kebanyakan agama besar memang mempunyai amalan berpuasa mengikut kepercayaan tersendiri tetapi “roh” puasa itu hampir sama iaitu amalan membersihkan rohani untuk lebih mendekatkan diri kepada tuhan. Menahan makan minum adalah manifestasi melepaskan nikmat dan tuntutan dunia untuk diri buat seketika demi menghambakan jiwa kepada Sang Pemberi Rezeki. Begitulah lebih kurang tujuan berpuasa dalam mengamalkan kepercayaan hidup beragama masing-masing. Maksud saya, asas berpuasa untuk kebanyakan agama adalah sama. Kalau makin mendalam lainlah pula penghayatannya. Tetapi asasnya, itulah.
Anehnya “budaya” puasa dalam masyarakat kita hanya berkisar tentang perut dan tekak sahaja. Sejak saya mula berpuasa pada usia kanak-kanak sehingga kini sudah menjangkau separuh abad usia, budaya puasa orang kita hanya tentang makan dan minum meskipun di masjid dan surau atau di televisyen selalu diperingatkan oleh ustaz- ustazah tentang bukan itu tujuan sebenarnya tapi ternyata ia tetap tak jalan. Bila bersahur kita akan memikirkan nak makan apa bila berbuka nanti. Bila moreh (makan juga) kita bertanya pula nak makan apa sahur nanti. Mana pergi “puasa ini untuk mengingatkan kita kepada orang miskin” yang diajar kepada kita itu? Langsung tak berkesan!
Menu berbuka puasa dengan pakej bufetnya, rancangan memasak berserta resipi di kaca TV, juadah di bazar Ramadan terus-terusan menghantui ibadat puasa kita sepanjang hari. Makanya puasa hanyalah sebuah budaya ikut-ikutan. Orang puasa, kita pun puasa. Sepanjang hari berpuasa kepala kita asyik teringat menu apa nak makan nanti. Betul?
Walhal ibadat paling istimewa bagi saya ialah ibadat puasa di bulan Ramadan berbanding ibadat lain dalam lima Rukun Islam yang saya pelajari. Ini kerana amalan puasa ini tidak ada sifat riak ketika membuatnya sebab kebanyakan kita semua sangat suka berpuasa. Tidak ada yang mendabik dada menunjuk-nunjuk akulah berpuasa sebab semua pun berpuasa juga. Yang tak berpuasa atau malas berpuasa pula mencari tempat sunyi untuk makan atau minum sebab malu. Mereka minoriti.
Tak mengapalah tidak mahu puasa, itu hak peribadi! Apa yang saya maksudkan ialah apabila ramai orang melakukan sesuatu ibadat itu bersama maka tidak adalah yang memandang rendah terhadap orang lain. Ada “haji” memandang lekeh orang lain yang belum berkesempatan menunaikan rukun kelima itu. Ada orang merasakan dia lebih alim berbanding orang lain sebab dia rasa dia lebih banyak sembahyang. Tapi untuk rukun ketiga, iaitu berpuasa semua kita setaraf. Engkau lapar, aku pun lapar. Kanak-kanak lapar, orang tua pun lapar. Si lelaki lapar, si perempuan pun sama. Sukar menilai puasa siapa yang lebih baik. Kan?
Sebenarnya untuk saya secara peribadi – puasa sebulan di bulan Ramadan ini adalah suatu latihan untuk diamalkan dengan lebih giat lagi seterusnya selepas itu sehingga datangnya sekali lagi Ramadan. Dari sudut kesihatannya, puasa di bulan Ramadan menyediakan “formula” tentang waktu paling sesuai untuk kita makan dan berapa kali sebenarnya sudah cukup untuk kita makan dan minum dalam sehari itu. Itulah gambaran dibayangkan untuk kita, rupa-rupanya pada bulan lain kita mengambil makanan dan minuman pada waktu yang kita tak perlu pun. Itu hanya untuk bersedap-sedapan sambil menempah penyakit. Jadi, untuk saya menu berbuka puasa cukup sekadar apa yang perlu untuk tubuh, bukan apa yang perlu untuk nafsu. Inilah sebaik-baik diet yang patut diteruskan pada bulan lain. Dua kali makan sahaja sehari dengan menu yang betul-betul baik.
Itu dari sudut amalan pemakanan. Ramadan juga mendidik kita menepati waktu. Bersedia awal di meja makan sementara menunggu waktu berbuka dan berdisiplin makan sahur sebelum waktu imsak adalah latihan mendisiplinkan diri menghargai waktu. Dari sini, saya cuba belajar untuk tidak menyusahkan orang lain apabila kita menepati waktu yang kita janjikan. Ada orang tidak kisah dan tidak berasa salah jika sengaja melanggar waktu yang disepakati bersama. Janji dengan kawan untuk bertemu pada waktu sekian-sekian tetapi dia sengaja datang lambat tanpa ada hal yang membuat dia terhalang daripada sampai tepat waktu. Bagi dia, tidak ada apa-apa walhal dia membuang masa orang lain. Puasa mendisiplinkan saya dengan waktu. Puasa juga dapat mengukuhkan kekeluargaan. Sesibuk mana ahli keluarga dengan rutin hariannya tapi apabila tiba bulan puasa dapatlah semua berkumpul di meja makan sama-sama berbuka puasa. Alangkah bagusnya jika kita dan keluarga kita dapat meneruskannya pada bulan lain.
Ini hanya sebahagian sahaja yang dapat saya nyatakan. Sebenarnya banyak lagi sudut puasa ini boleh dibuka dan diambil pengajarannya untuk diamalkan sebagai gaya hidup tidak hanya pada Ramadan sahaja. Sama-samalah kita cari dan fikirkan. Kesimpulannya, Ramadan adalah bulan latihan untuk kita pelajari disiplinnya buat diamalkan terus-terusan sepanjang masa. Menahan diri daripada membuat masalah kepada orang lain adalah “concern” saya. Menepati waktu, tidak menganiaya orang lain, tidak menjadi toksik sehingga pihak lain terganggu ada diterapkan dalam amalan puasa ini jika kita menghayatinya.
Ia juga mengajak kita mententeramkan diri sendiri dengan menjauhkan diri daripada perkara yang tidak perlu disibukkan terutama hal sensasi di media sosial. Itu lebih mendamaikan. Puasa adalah untuk kedamaian peribadi. Bukan hanya tentang lapar dan dahaga atau tentang makan dan minum, bukan juga fasal lauk-pauk bufet atau tawaran hebat baju raya di pasar raya tetapi sebagai terapi menenangkan jasmani dan rohani yang empunya diri. Jika semua kita jaga diri kita sendiri, amanlah dunia. Tapi itulah kita! Orang puasa kita pun puasa. Makan main belasah, mengacum, mengumpat dan mengutuk tetap jalan. Hisy! Nak cakap pun payah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan