Sikap suka melabel oleh PAS tak untungkan Melayu, kata Azan

Haspaizi Zain

Bekas pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berpandangan tindakan pemimpin PAS melabelkan pemimpin PH dengan pelbagai gelaran termasuk dengan perumpamaan haiwan, sebagai tidak memberi manfaat kepada negara.

Azan berkata ia juga jelas bertentangan dengan tata susila masyarakat Melayu.

"Sikap macam ini tak membantu rakyat dalam menangani isu harga barang. Kerajaan dalam tempoh tiga bulan ini bertungkus-lumus nak selesai masalah (rakyat), PAS pilih untuk menyindir dengan cara menghina.

"Tinggalkan perangai buruk melabelkan dengan binatang dan sebagainya, guna bahasa yang lebih baik.

"Kalau tiada idea nak bantu (rakyat), lebih baik bersama kerajaan daripada sikap suka melabel," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod Presiden PAS Abdul Hadi Awang pernah beberapa kali membuat kiasan dengan menggunakan binatang dalam kritikannya terhadap ahli atau parti politik.

Misalnya pada 13 Sep 2020, Abdul Hadi mengingatkan ahli PAS supaya tidak mempedulikan "anjing yang menyalak bukit", merujuk kepada kepimpinan PH yang mempertikai kerajaan PN ketika itu.

Pada tahun 2021 pula, dia membandingkan pihak yang mengkritik kerajaan PN berhubung pengendalian wabak Covid-19 dengan tupai dan kera.

Selain itu, dia juga berkata jika kerajaan semasa tumbang, ia kerana "atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah".

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula pada 1 Mac lalu mengibaratkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai seperti seekor burung “tiung yang bercakap” - hanya pandai berkata-kata tanpa memahami apa yang diperkatakan.

Ia berikutan tindakan Anwar membatalkan kelulusan enam projek tebatan banjir di bawah kerajaan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Azan berkata tindakan itu juga tidak membantu orang Melayu.

"Apakah orang Melayu suka dengan cara melabelkan orang lain dengan binatang? Apakah ini boleh bantu rakyat di kawasan Melayu? Saya tak rasa orang Melayu suka sikap begini.

"Ia lebih kepada menghina, sangat buruk, tak menguntungkan rakyat," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan