Tuan Ibrahim: Muafakat Nasional tak mati cuma ‘pengsan’

Nora Mahpar dan Faiz Zainuddin

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan PAS dan Umno masih bernyawa sungguhpun dalam keadaan “pengsan” ketika ini, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata walaupun dua parti itu dalam kerangka politik berbeza, mereka perlu bersama “menyatukan umat Islam”.

PAS dan Umno sebelum ini saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka empat tahun lalu.

Hubungan dua parti itu tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sekali gus mahukan parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

Dalam wawancara dengan FMT baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata MN tidak patut dilihat sebagai terkubur.

“MN belum mati lagi, (cuma) sedang ‘pengsan’,” katanya ringkas mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Mac lalu yang partinya akan terus bersikap “husnuzon” (bersangka baik) terhadap MN.

Zahid turut memberi gambaran hala tuju gagasan itu mungkin akan berubah sekiranya pemimpin parti bertukar.

MN digagaskan Umno dan PAS ketika dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan