Ustaz Azhar Idrus juga tiada tauliah mengajar di Terengganu

Malaysiakini

Penceramah bebas terkenal dari Terengganu yang baru-baru ini dibatalkan kuliahnya di Selangor, Azhar Idrus, disahkan turut tidak mempunyai tauliah untuk berceramah atau menyampaikan kuliah di negerinya sendiri.

Perkara itu disahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), lapor media hari ini.

Statistik pemegang tauliah dikeluarkan pihak berkuasa agama Terengganu sehingga November lalu menunjukkan hanya 30 penceramah selebriti diberi kebenaran khas oleh pihak berkuasa negeri itu.

Bagaimanapun ia tidak termasuk Azhar.

Menurut laporan, Harian Metro difahamkan Azhar sudah dipanggil tiga kali oleh JHEAT untuk menjalani proses temu duga pemegang tauliah.

Pesuruhjaya JHEAT M Rozi Bidin dilaporkan berkata secara keseluruhan 1,313 individu mempunyai tauliah untuk berceramah agama, mengajar agama Islam dan mengajar al-Quran di negeri terbabit.

Katanya, jumlah itu termasuk pendakwah yang diberi tauliah khas mengajar agama sahaja dan mengajar agama Islam termasuk kitab, ceramah umum serta al-Quran.

"Kami akan mengeluarkan kebenaran khas kepada penganjur dan jawatankuasa masjid serta surau yang bercadang mengundang antara 30 pendakwah selebriti berkenaan," katanya dipetik sebagai berkata.

Gesa buat permohonan

Terdahulu media melaporkan satu kuliah Azhar dijadualkan di sebuah masjid di Shah Alam pada Feb lalu dibatalkan kerana dia tidak mempunyai tauliah.

Susulan itu tular satu tulisan Azhar di Facebook yang menyatakan kuliah tersebut terpaksa dibatalkan atas arahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sebelum ini semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta ahli Dewan Negara dilarang memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.

Turut dilarang ialah penyampaian khutbah Jumaat.

Menurut kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

“Semua ahli yang berhormat sama ada ahli dewan undangan negeri, ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid.

“Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu," katanya.

Sementara itu M Rozi dilaporkan berkata pihaknya meminta individu yang ingin mengajar dan mengadakan kuliah di masjid serta surau supaya membuat permohonan dengan JHEAT termasuk mengemuka maklumat peribadi dan kelulusan akademik.

"Kita amat mengalu-alukan individu yang berkelayakan membuat permohonan untuk mendapatkan tauliah," kata seperti dilaporkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan