11 maut dirempuh ketika majlis sumbangan Ramadan

AFP

Karachi: Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh akibat insiden rempuhan ketika majlis sumbangan Ramadan di bandar selatan, Pakistan, semalam.

Pegawai kanan polis Bandar Baldia, Karachi barat, Fida Janwari berkata, rempuhan itu berlaku apabila wanita dan anak-anak berpusu-pusu ke kilang mengagihkan sumbangan.

"Orang mula berlari dan mencetuskan suasana panik.

"Tiga pekerja kilang ditahan selepas gagal memaklumkan kepada polis mengenai acara sumbangan itu bagi mengawal orang ramai," katanya kepada AFP.

Seorang pegawai pentadbiran tempatan berkata, 600 hingga 700 orang hadir di kawasan perindustrian kecil itu.

Jurucakap Muhammad Farraukh berkata, mayat enam wanita dan tiga kanak-kanak dibawa ke hospital negeri Abbasi Shaheed.

Seorang pegawai NGO Penyelamat memberitahu AFP, dua mayat tambahan dihantar ke hospital lain manakala pakar bedah forensik, Summaiya Syed Tariq mengesahkan jumlah semua mangsa maut 11 orang, setakat malam tadi.

Sementara itu, Fatima Noor, 22, berkata, ketika pintu utama dibuka, semua orang bergegas masuk hingga mengakibatkan adik perempuannya maut dirempuh.

Asma Ahmed, 30, berkata, nenek dan anak saudaranya adalah antara yang maut.

"Kami datang setiap tahun ke kilang untuk mengambil sumbangan ini.

"Keadaan menjadi huru hara, malah ada yang mula menolak dan memukul mereka dengan kayu.

"Mengapa mereka memanggil kami jika tidak dapat mengawal keadaan?" katanya.

Insiden itu kali kedua berlaku, apabila seorang terbunuh dan lapan cedera dalam rempuhan untuk mendapatkan tepung dalam satu majlis sumbangan di barat laut Pakistan, pada hari pertama Ramadan.

Pakistan dilanda kegawatan ekonomi selama berbulan-bulan dengan kejatuhan rupee dan harga makanan ruji meningkat hampir 50 peratus.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh krisis tenaga global disebabkan perang di Ukraine dan banjir monsun tahun lalu yang menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan