4 maut kemalangan di Kemaman

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
KEADAAN kedua-dua kereta jenis Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur yang mengorbankan empat nyawa. FOTO BOMBA
KEADAAN kedua-dua kereta jenis Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur yang mengorbankan empat nyawa. FOTO BOMBA
Kemaman: Empat termasuk seorang bayi maut selepas dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh, petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu, kira-kira jam 4.47 petang.

Menurutnya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Cheneh serta anggota bersedia di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang membabitkan dua kereta Persona.

"Persona pertama dinaiki tujuh mangsa dan tiga yang maut itu ialah dua wanita, Tuan Yah Dollah, 61, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 22, dan Nor Syafinaz Naura Saiful Azwan, berusia dua tahun.

"Tiga lagi mangsa dalam kereta itu iaitu seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera," katanya.

Azman berkata, sebuah lagi kereta dinaiki lima mangsa dan seorang daripadanya maut ialah Abdul Halim Ismail 51, yang duduk di bahagian penumpang depan.

"Empat lagi penumpang kereta itu, seorang lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak cedera," katanya.

Menurutnya, tiga yang maut itu berasal dari Bandar Cheneh Baru Kemaman manakala Abdul Halim beralamat di Batu Rakit Kuala Terengganu.

"Kesemua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman dengan ambulans dari Hospital Kemaman dan ambulans Bomba.

"Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan