Imam terlupa takbir rakaat kedua, solat sunat Aidilfitri diulang kali kedua

HARIS FADILAH AHMAD
Jemaah melakukan solat sunat Aidilfitri kali kedua berikutan imam terlupa takbir rakaat kedua di sebuah masjid bandar Jerantut, hari ini.
JERANTUT – Gara-gara seorang imam terlupa takbir pada rakaat kedua, solat sunat Aidilfitri terpaksa diulang kali kedua di sebuah masjid di bandar Jerantut di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku ketika solat sunat Aidilfitri bermula pada pukul 8.45 pagi dihadiri kira-kira 2,000 jemaah termasuk perantau yang pulang berhari raya di rumah keluarga masing-masing.

Pada rakaat pertama, imam berkenaan tidak berdepan masalah dan lancar menyebut takbir sebanyak tujuh kali, tetapi lain pula berlaku pada pada rakaat kedua.

Ketika masuk rakaat kedua, imam berkenaan bangun daripada sujud dan terus beliau membaca Fatihah serta ayat lazim dan ‘terlupa’ menyebut lima takbir yang sepatutnya dilakukan sebelum membaca surah Fatihah dan kemudiannya terus rukuk sehingga selesai solat.

Sejurus memberi salam, imam berkenaan terus bangun dan mengakui kekhilafannya pada rakaat kedua kerana tidak melengkapkan lima takbir ambil memohon para jemaah mengulangi solat sunat itu kali kedua pada pukul 8.55 pagi yang diimamkan oleh beliau sendiri.

Solat sunat Aidilfitri selesai dengan tertib dan nampak wajah imam berkenaan ceria, tetapi sedikit kekesalan.

Seorang jemaah,  Zulkifli Mahadi, 45, berkata dia berasa hairan apabila makmum di belakang imam tidak menyedarkan imam yang terlupa atau khilaf itu sekurang-kurangnya mengucapkan ‘subhanallah’.

“Kita (jemaah) di belakang agak terkejut apabila lima takbir tidak disebut dan tiba-tiba imam terus rukuk sehingga selesai solat sunat.

“Apapun, saya memuji sikap imam ini yang mengakui kekhilafannya dan mengajak jemaah terus solat sunat kali kedua,” katanya.

Seorang perantau, Azahari Ahmad, 56, berkata, seumur hidupnya ini pertama kali dia mengalami peristiwa tersebut ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri dan beranggapan para jemaah lain pun berdepan pengalaman kali pertama.

“Pada hari mulia ini mungkin hal ini perkara yang kecil dan saya lihat keikhlasan imam berkenaan mengakui kekhilafannya melalui pembesar suara dan mahu diulang solat tersebut.

“Manusia tidak lari lari daripada kekhilafan. Pada hari yang mulia ini, kita bermaaf-maafan. Alhamdulillah, solat sunat kali kedua berjalan lancar dan imam mengetuai solat dengan yakin dan tawaduk terutamanya apabila tiba di rakaat kedua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan