Janganlah buat rakyat rasa terjajah di negara sendiri :Henti terus bawa masuk pekerja

SAUDARA PENGARANG,

TERKEJUT apabila mendengar berita hampir sejuta kuota pekerja asing telah diluluskan setakat ini.

Ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud memberitahu, sehingga 14 Mac lalu sebanyak 995,396 kuota pekerja asing diluluskan Kementerian Sumber Manusia.

Daripada jumlah itu, sebanyak 84.7 peratus kuota pekerja asing dibayar levi oleh majikan.

Mustapha berkata, daripada jumlah kuota diluluskan itu, sektor perkilangan adalah yang tertinggi diikuti pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Alangkah tidak logiknya Malaysia hendak membawa masuk pekerja luar seramai itu sedangkan pekerja asing di dalam negara masih berlambak termasuk berstatus pendatang haram.

Mujurlah permohonan baharu diberhentikan sementara waktu oleh kerajaan. Kalau boleh biarlah hentikan terus pengambilan baharu pekerja asing dalam setahun dua ini.

Ini kerana Malaysia mempunyai lambakan pekerja asing di mana-mana sahaja. Di bandar, kampung mahupun di hutan pun mereka buka penempatan sendiri.

Cubalah berjalan-jalan di ibu kota terutama di Jalan Silang, Pasar Seni dan Kota Raya. Hanya orang mereka di sana. Tidak perlu lagi tunggu hari minggu untuk melihat mereka berkumpul. Di sana sudah seperti berada di Bangladesh dan Nepal.

Lebih memberi kesan kepada rakyat,
golongan pendatang asing mampu membuka kedai secara bebas seolah-olah negara ini milik mereka.

Jadi, jika dilihat, penambahan hampir sejuta pekerja asing akan membuatkan keadaan semakin parah kerana ia lagi sukar untuk dikawal. Bukankah pada masa sama kerajaan sedang menjalankan program pemutihan atau nama baharunya rekalibrasi? Janganlah buat rakyat rasa terjajah di negara sendiri.-UTUSAN

PEMERHATI
Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan