Pengampunan Najib jalan terbaik menurut Islam, kata menantu Hadi
Malaysiakini
Memberi pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak adalah jalan terbaik menurut perspektif Islam, kata Zaharuddin Muhammad yang juga menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Maka sewajarnya bekas presiden Umno itu dibebaskan melalui pengampunan diraja yang dikemukakan Najib, kata Zaharuddin.
"Tersalah melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.
"Jadi, antara mengekalkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam penjara dan juga membebaskan dengan pengampunan, maka membebaskan dengan pengampunan adalah lebih dekat dengan kaedah Islam," katanya pada satu hantaran video di media sosialnya hari ini.
Zaharuddin berkata demikian sebagai mengulas polemik mengenai permohonan pengampunan diraja yang dikemukakan bekas ahli Parlimen Pekan itu.
Semalam, Lembaga Pengampunan yang bersidang tidak membincangkan permohonan difailkan bekas perdana menteri untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Semasa persidangan semalam, dilaporkan petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentangkan oleh bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri, serta sekretariat lembaga itu.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu bermula jam 11 pagi dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Sidang hari ini tidak membincangkan petisyen Najib kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International, baharu sahaja difailkan.
"Petisyen yang difailkan beliau perlu mengikut giliran. Persidangan yang berlangsung hari ini hanya membincangkan kes-kes terdahulu yang diterima lebih awal oleh urus setia Lembaga Pengampunan," kata sumber seperti dipetik BH Online.
Pada 31 Mac, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan terhadap kes rasuah SRC International.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel lima hakim yang turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.
Berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan terhad kepada kesalahan yang dibicarakan atau dilakukan di Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan atau dibicarakan di negeri-negeri lain berada di tangan Raja-Raja Melayu di setiap negeri, masing-masing.
Yang di-Pertuan Agong akan memberikan pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan.
Pada 17 April lalu, Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan penuh terhadap kesalahan bekas perdana menteri itu.
Kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Umno tidak lagi terlibat selepas menghantar memorandum pengampunan Najib itu, dan keputusan itu kini terserah kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan