FMT Reporters
PETALING JAYA: Kerajaan dikatakan sedang mengadakan rundingan dengan Beijing untuk mengekstradisi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang dianggap menjadi dalang utama skandal 1MDB.
Memetik sumber, penulis bersama “Billion Dollar Whale”, Bradley Hope, berkata perundingan tersebut “hangat diperdebat” di Putrajaya susulan kunjungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke China, bulan lalu.
“Ini sangat besar, mendebarkan dan tanda pengakhiran jalan cerita utama dalam skandal 1MDB – bermula diasaskan pada 2009 sehingga runtuh dalam skandal pada 2015 dan semua kegilaan berparti dan perbelanjaannya sehingga 2023,” katanya dalam laman sesawang yang didedikasikan menjejak ahli perniagaan Pulau Pinang itu yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Hope berkata rundingan itu membabitkan menyerahkan Low kepada Malaysia dan juga membersihkan China daripada tuduhan berpakat dengan ahli perniagaan itu untuk menutup penipuan 1MDB.
Katanya, sumbernya memberitahu bahawa Low kini menjadi “beban” kepada China selepas bekas perdana menteri Najib Razak kalah dalam pilihan raya umum 2018.
Hope berkata, sumbernya mendakwa perjanjian itu akan menyaksikan Malaysia menerima semua wang yang dicuri daripada 1MDB bersama aset lain yang dikaitkan dengan syarikat itu.
“Ini adalah satu perjanjian yang sangat mencabar dan sensitif untuk dimeterai, dan saya membayangkan kedua-dua pihak (Malaysia dan China) mahu membuat pengumuman yang positif,” kata Hope.
Low yang didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan menjadi dalang mencuri USD4.5 bilion dari 1MDB, dipercayai berada di Macau, walaupun Beijing menafikan melindungi ahli perniagaan dalam buruan itu.
Ahli perniagaan itu didapati bersalah tanpa kehadiran dan dihukum penjara 10 tahun oleh sebuah mahkamah di Kuwait atas tuduhan pengubahan wang haram.
Akhbar Kuwaite Al-Qabas melaporkan seorang sheikh, rakannya dan seorang warga asing turut dihukum penjara 10 tahun. Seorang peguam pula dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan “dana Malaysia”.
Pada Sept lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata usaha untuk memburu Low masih berjalan, dan tiada negara Interpol mengesahkan kehadiran lelaki itu di wilayah mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan