Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
Ipoh: Lelaki ditahan polis selepas dipercayai merogol seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan trauma di Jalan Kamaruddin Isa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata wanita warga tempatan berusia 38 tahun terbabit ditemukan orang awam dalam keadaan trauma dan menangis selain mengalami luka di kaki.
Katanya, maklumat mengenai penemuan wanita itu diterima daripada orang awam jam 9.15 pagi semalam oleh Balai Polis Sungai Senam sebelum sepasukan polis dari balai terbabit bergegas ke tempat kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dirogol di rumahnya oleh seorang lelaki warga tempatan yang tidak dikenalinya.
Mangsa, bagaimanapun berjaya melarikan diri daripada tempat kejadian selepas dirogol.
Menurutnya, kecederaan di bahagian kaki mangsa adalah akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Yahaya berkata, hasil tindakan pantas, polis berjaya memberkas suspek berusia 43 tahun di rumah mangsa.
Katanya, beberapa barangan yang ditemukan bersama suspek termasuk beberapa jenis senjata seperti gunting, pisau, dan kuku kambing; selain semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah narkotik lampau.
"Ujian saringan air kencing suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol sementara mangsa masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan keadaan kecederaan mangsa stabil.
Katanya, siasatan kes sedang dilengkapkan sebelum kemudiannya kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan ke atas suspek dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan