Wanita menangis atas jambatan

Nurul Hidayah Bahaudin
bhnews@bh.com.my
Wanita yang ditemukan orang awam dalam keadaan menangis berada di atas Jambatan Wawasan, Presint 2, Putrajaya, semalam. - Foto ihsan pembaca
Wanita yang ditemukan orang awam dalam keadaan menangis berada di atas Jambatan Wawasan, Presint 2, Putrajaya, semalam. - Foto ihsan pembaca
PUTRAJAYA: Tindakan pantas orang awam berjaya memujuk seorang wanita dalam keadaan menangis di atas Jambatan Wawasan, Presint 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya mengesan satu hantaran TikTok menerusi akaun Edywoo mengenai seorang wanita berada di atas jambatan itu dalam keadaan menangis dan mencurigakan, semalam.

"Bertindak atas maklumat selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai, Unit Kereta Peronda Polis (MPV) bergerak ke lokasi dan membawa wanita itu ke Balai polis Presint 7 untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati wanita berkenaan yang juga suri rumah berusia 30-an pergi ke jambatan itu kira-kira 11 pagi, semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asmadi berkata, orang awam yang melalui jambatan itu dikatakan melihat wanita berkenaan dalam keadaan menangis jam 11.40 pagi, sebelum berjaya memujuknya.

"Soal siasat terhadap mangsa mendapati wanita itu mengalami tekanan perasaan kerana keputusan mahkamah ke atas satu kes tuntutan sivil tidak berpihak kepadanya.

"Wanita itu dikehendaki membayar sejumlah wang ekoran keputusan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tujuan wanita berkenaan berada di jambatan itu bukan berniat untuk membunuh diri.

"Difahamkan, dia hanya mahu menenangkan perasaan akibat tertekan kerana keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepadanya.

"Pihak keluarga wanita itu dipanggil untuk membantu siasatan dan dia sudah dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan berhubung dengan pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang masalah serta tidak mengambil tindakan melulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan