FMT Reporters
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menegaskan penyelesaian kes kalimah “Allah” di luar mahkamah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan bukan atas permintaan parti itu.
Loke berkata, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengaitkan DAP dalam isu kalimah adalah tidak adil.
“Siapa yang dia (Muhyiddin) maksudkan? Pada ketika itu saya juga ada dalam Kabinet dan saya tak pernah bangkitkan isu itu.
“Malah, keputusan untuk cuba selesaikan isu itu di luar mahkamah sebenarnya keputusan Kabinet dan mungkin dia tak hadir ketika mesyuarat Kabinet yang membuat keputusan itu,” katanya menurut Sinar Harian.
Menurut Loke, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan mahu ia dibawa ke Mahkamah Tinggi yang kemudian memutuskan penggunaan kalimah “Allah” dibenarkan kepada penganut Kristian di Sarawak secara bersyarat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.
“PN tiada modal selain memainkan atau mengapikan sentimen perkauman dan agama.
“Seperti dinyatakan oleh perdana menteri yang Kabinet secara tegas mempertahankan bahawa isu agama perlu ditangani dengan sensitif dan baik,” katanya.
Semalam, Muhyiddin mendakwa ada menteri DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku sewaktu memegang portfolio sebagai menteri dalam negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
Muhyiddin berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada 2021, namun kerajaan PN pada ketika itu berpendirian keputusan kes tersebut mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 memutuskan bahawa Jill boleh menggunakan kalimah “Allah” secara bersyarat dalam pembelajaran agamanya.
Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin, berkata arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan