KIM SYAZIE
Imam al-Mahdi adalah seorang insan yang akan dilahirkan di akhir zaman bagi memberi petunjuk kepada manusia yang mula hilang arah dan tujuan sebenar beragama.
Dengan kedudukan Imam al-Mahdi yang agong, kita diperlihatkan mutakhir ini ada sosok manusia yang mula mengaku secara langsung bahawa dia adalah Imam al-Mahdi.
Sejak kebelakangan ini juga, timbul khabar angin mendakwa imam Mahdi sudah pun muncul.
Atas sebab itu, ia menarik perhatian pakar hadis, Dr Rozaime Ramle yang menasihatkan agar orang ramai tidak terburu-buru.
“Ada orang dakwa imam mahdi dah keluar? Saya nasihatkan dengan nasihat yang pernah diberikan seorang as-Salafus Soleh.
“Katanya, kalaulah Mahdi betul-betul lalu di pintu rumah anda sekalipun, jangan buat apa-apa lagi sehingga manusia berhimpun kepadanya melantiknya sebagi pemimpin dan sebagai khalifah,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi.
Beliau juga menasihatkan agar orang ramai tidak terlalu “bersegera” mahu membuat sebarang spekulasi bimbang diri sendiri akan “terciduk” atau tertipu.
“Jadi inilah yang diajar as-Salafus Soleh supaya jangan terlalu bersegera. Jangan terlalu cepat-cepat sebelum munculnya imam Mahdi yang sebenar. Takut-takut nanti kita terciduk,” ujar Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan